KEMAMAN: Pengunjung Pantai Penunjuk Kijal, dekat sini, mahu fasiliti kawasan rekreasi itu dibaik pulih dan dinaik taraf untuk keselesaan mereka.
Tinjauan di sekitar pantai itu mendapati, beberapa fasiliti seperti pondok berteduh telah usang dan mencacatkan pemandangan serta membahayakan pengunjung.
Seorang pengunjung, Mohd. Asrol Nizam Sidi, 35, dari Setapak, Kuala Lumpur berkata, kemudahan seperti taman permainan untuk kanak-kanak dan sebuah lagi tandas awam perlu dibina di situ.
“Difahamkan sebelum ini dah ada taman permainan, namun telah rosak dan tidak digantikan. Sekurang kurangnya kalau ada taman permainan, boleh anak-anak bermain sambil ibu bapa menikmati suasana tepi pantai. Lagipun, pantai ini sangat cantik, rugilah tiada kemudahan seperti ini.
“Saya rasa tandas juga perlu dibina baharu sebab hanya ada satu tandas awam di sekitar pantai ini. Kalau pengunjung nak berkhemah dan berkelah, mereka terpaksa menggunakan tandas yang jauh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi pengunjung, Che Ku Fazri Che Ku Yusof, 36, dari Padang Kubu, Kijal berkata, pihak bertanggungjawab perlu memasang papan tanda larangan mandi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Penduduk di daerah ini mungkin tahu pantai ini tidak selamat untuk mandi dan pernah berlaku beberapa kali kejadian lemas. Namun, bagi orang luar, mereka tidak tahu, sepatutnya sekurang-kurangnya pasang beberapa bendera merah atau papan tanda larangan,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Ibai Penunjuk, Zainal Muda ketika dihubungi berkata, permohonan untuk menaik taraf kawasan rekreasi itu telah diajukan kepada pihak berwajib dan masih dalam peringkat perbincangan. – UTUSAN










