Murid tahun satu ceria pakai baju sekolah baharu

Murid tahun satu ceria terima baju, kelengkapan sekolah baharu, terima kasih Petronas

SEBAHAGIAN penerima yang diraikan dalam majlis sumbangan kelengkapan persekolahan yang disampaikan Yayasan Petronas di Perdana Hotel, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang murid tahun satu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di sini, teruja menerima sumbangan pakaian seragam baharu termasuk beg dan kelengkapan sekolah ekoran sebelum ini dia hanya memakai pakaian lama dan lusuh sejak berada di prasekolah.

Muhammad Firas Emir Firdaus, 7, berkata, sebelum ini dia terpaksa memakai pakaian lama dan lusuh setiap kali ke sekolah ekoran bapanya tidak mampu membeli pakaian memandangkan pendapatan sebagai tukang rumah tidak seberapa.

MUHAMMAD Firas Emir Firdaus gembira menunjukkan kelengkapan sekolah baharu yang disampaikan Yayasan Petronas di Perdana Hotel, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. – UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH

Menurutnya, dia amat bersyukur dengan bantuan pihak Petronas yang menyumbangkan pakaian termasuk sekolah, setelah sekian lama tidak mendapatkan seragam baharu.

“Syukur dan terima kasih, saya boleh pakai baju baharu selepas ini ke sekolah dan bersemangat untuk belajar. Kali ini dapatlah saya pakai baju seragam dan bergaya dengan kasut dan beg baru,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan kelengkapan persekolahan yang disampaikan Yayasan Petronas di Perdana Hotel, di sini hari ini.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 2, Arysha Shazlin Salmi, 13, berkata, pada kebiasaannya dia hanya membeli sepasang pakaian seragam sekolah ekoran adik beradiknya ramai.

“Saya gembira menerima pakaian seragam sekolah pada kali ini dan amat teruja. Lagipun ibu hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala bapa saya tidak bekerja dan perlu menanggung kami enam beradik yang masih bersekolah dengan kos hidup yang meningkat,” katanya.

Menurutnya, dia amat berterima kasih kepada pihak Yayasan Petronas atas sumbangan yang disampaikan kepada keluarga kurang berkemampuan sepertinya.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, program tahun ini dijalankan melalui penyampaian sumbangan kelengkapan sekolah kepada 5,040 pelajar melibatkan keluarga berpendapatan rendah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata, seramai 2,520 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 10 jajahan di Kelantan menerima sumbangan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Menurutnya lagi, sumbangan di Terengganu melibatkan 1,680 pelajar dan sumbangan di Pahang seramai 840 pelajar, dan jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 21,000 keseluruhan penerima BTS 2023 di seluruh negara.

“Melalui BTS 2023, setiap pelajar menerima satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut hitam, sepasang stokin dan sepasang pakaian sukan iaitu kemeja-T berkolar dan seluar sukan. Selain itu, mereka juga dibekalkan dengan set alat tulis seperti bekas pensil dan pembaris,” katanya.

Tambahnya, Petronas terus komited dalam menyokong usaha kerajaan mempertingkatkan kecemerlangan pelajar.

“Justeru, kami berharap sumbangan yang disampaikan mampu membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus gigih dan aktif di dalam aktiviti pembelajaran bilik darjah. Adalah diharapkan, kejayaan yang bakal dicapai menjadi pemangkin kepada pembangunan negara,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya