KUALA LUMPUR: Negara memerlukan pembaharuan struktur dan pasaran jangka masa panjang bagi membolehkan transformasi dalam pasaran modal dan ekonomi Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan melaksanakan pembaharuan itu pada tahun ini, bagi menggalak lebih banyak syarikat untuk disenarai di pasaran saham tempatan.
Katanya, langkah itu bagi menjadikan lebih mudah dan cepat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dan mengurangkan masa ke pasaran selain memastikan Malaysia kekal menjadi pasaran yang mempunyai daya tarik dan saing yang tinggi.
“Sebarang pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran, juga memerlukan keyakinan dan keberanian untuk melakukan perkara baharu demi kepentingan rakyat dan negara.
“Oleh itu, kerajaan akan melaksanakan semua perkara yang diperlukan bagi memastikan pertumbuhan inklusif dan mampan serta ekonomi terbuka yang menghormati aliran kewangan bebas,” katanya ketika merasmikan Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) dan pelancaran ‘investED’, di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN