SEREMBAN: Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memberikan perhatian berkenaan isu jalan gelap di sepanjang Lebuhraya Seremban-Port Dickson.
Pengerusi LLM, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, hal berkaitan kemudahan asas di sepanjang lebuh raya akan menjadi keutamaan untuk ditambah baik terutama yang menjadi penyumbang kepada kejadian kemalangan.
“Saya sudah minta pengurusan LLM untuk menyenarai pendek mengikut keutamaan apa yang mesti diatasi dan dilakukan dan penambah baik secepat mungkin. Ia termasuk lampu-lampu keselamatan di kawasan rehat dan rawat, di sepanjang lebuh raya akan, ia akan dibuat mengikut fasa.
“Lebuhraya Seremban-Port Dickson juga antara lokasi diberikan perhatian. Saya akan melihatnya secara terperinci dari semasa ke semasa untuk lihat penambahbaikan di kawasan berkenaan,” katanya di sini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan desakan orang ramai supaya isu jalan gelap di Lebuhraya Seremban-Port Dickson diselesaikan segera pihak bertanggungjawab.
Walaupun ada kemalangan bukan berpunca daripada keadaan gelap di lebuh raya berkenaan namun keperluan pemasangan lampu jalan bagi menambah pencahayaan di situ penting bagi mengelak kejadian buruk lain daripada berlaku.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, perlu ada kajian forensik dijalankan di lokasi lebuh raya yang sering berlakunya kemalangan.
“Mana-mana tempat atau lokaliti jalan yang menyebabkan kemalangan perlu diadakan kejadian forensik secara lebih terperinci, apakah faktor perlu diambil berat dan diberikan tumpuan,” katanya. – UTUSAN