PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO membidas Pemuda Perikatan Nasional (PN) supaya ‘lawan’ dengan idea dan polisi yang baik dan bukannya menghina orang lain.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebarang perbezaan pendapat tidak patut sampai merendahkan kerana perkara itu tidak diajar dalam Islam.
“Mengucap panjang saya bila membaca kenyataan dari sahabat saya dari parti Pas.
“Kita ini boleh berbeza pendapat, tetapi janganlah sampai menghina dan merendahkan antara satu sama lain. Islam tidak ajar kita menghina orang lain walaupun berbeza pendapat
“Kita lawan dengan idea dan polisi yang baik untuk rakyat, bukan dengan menghina orang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Justeru, Muhamad Akmal mendoakan semoga Allah melindungi semua daripada menjadi fitnah kepada Islam.
“Benarlah parti politik ini bukan melambangkan islam, tetapi perbuatan kita yang sebenarnya melambangkan Islam,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari ketika berucap di Konvensyan Pilihanraya PN Selangor, mendakwa, DAP melayan Barisan Nasional (BN) seperti kain buruk yang digunakan untuk mengelap kaki ketika basah.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, perumpamaan yang digunakan itu mungkin kasar, tetapi menggambarkan situasi antara dua parti Kerajaan Perpaduan itu, selepas ada bekas pemimpin DAP berani menggelar BN sebagai ‘pakatan korup’. – UTUSAN