SEREMBAN: Penumpang-penumpang bas digalakkan untuk melaporkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan pemandu kenderaan itu bersama dengan bukti termasuk rakaman video dan gambar kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Sairin Dula@Sabdullah berkata, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu bas adalah memandu sambil menggunakan telefon bimbit, merokok dan memandu di lorong kanan secara berterusan.
“Aduan-aduan melibatkan kesalahan tingkah laku pemandu bas ini adalah penting dan kami menggalakkan orang ramai membuat laporkan di mana-mana cawangan JPJ atau di aplikasi MyJPJ,” katanya di sini.
Dalam pada itu katanya, JPJ turut mengambil tindakan dengan mewujudkan tiga pasukan penyamaran dalam bas-bas ekspres.
“Operasi ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlaku nahas jalan raya akibat pertambahan aliran trafik. Kami juga memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan motor yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN