Krisis rumah tangga ‘dikisahkan’ terlalu toksik - Utusan Malaysia

Krisis rumah tangga ‘dikisahkan’ terlalu toksik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMBAKAN isu dan pergolakan rumah tangga yang sering dikaitkan dengan selebriti membuatkan pelakon, Ramona Zamzam, 33, pernah sampai satu tahap tidak mahu membuka media sosial. 

Ramona berkata, permasalahan yang tidak berkesudahan itu benar-benar menghantui dirinya sehingga membuatkan dia pernah terbayang sekiranya krisis tersebut melanda dirinya. 

“Saya jadi takut bila baca berita hari ini, sampai satu tahap tak mahu buka media sosial sebab berita-berita seperti itu terlalu toksik. 

“Ia secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan buat saya. Apapun, saya sentiasa berdoa agar rumah tangga sentiasa terpelihara,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga sejak 2015 dengan jejaka berasal dari Palestin. 

Pemilik nama lengkap Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam berkata, dia bersyukur suaminya, Rami Alashkar, kurang aktif dalam media sosial sekali gus mengelakkan risiko diganggu pihak ketiga. 

“Sebenarnya saya tertarik dengan dia sebab tak main media sosial. Bagi saya, ketika zaman digital ini apabila pasangan hidup tidak aktif dalam media sosial, perkara itu yang akan membawa kedamaian dan ketenangan hidup. 

“Saya pula yang terpaksa ajar dia ambilkan gambar sebab kerjaya saya memang perlu aktif dalam media sosial,” jelasnya. 

Mengimbas memori perkahwinan lapan tahun lalu, bekas peserta Dewi Remaja 2009 ini berkata, dia berkahwin dengan suami atas dasar cinta dan bukan kerana duit semata-mata. 

Kongsinya, suaminya yang mempunyai perniagaan sendiri lebih banyak menguruskan hal rumah tangga termasuk cahaya mata mereka, Ivanna yang kini berusia enam tahun. 

“Suami adalah individu yang sangat mementingkan keluarga dan lebih suka duduk di rumah. Kami juga tidak mempunyai pembantu rumah sebab dia hendak uruskan anak sendiri. 

“Dia pun tak pernah halang karier saya dan sangat memberikan galakan untuk meneruskan lakonan,” katanya yang pernah membintangi  filem Castello. 

SUSAH JADI PELAWAK 

Ramona merupakan antara peserta program Mega Spontan 2023 yang disiarkan di Astro Warna selama lapan minggu, sejak 19 Mei lalu. 

Ramona berkata, dia tidak pernah berhasrat untuk menjadi seorang pelawak susulan penyertaan dalam program jenaka secara spontan itu. 

Sebaliknya, dia mahu berani mencuba dan menimba ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang lawak. 

“Rancangan ini lebih kepada mencipta senario secara spontan yang dilakukan secara berkumpulan, bukan komedi solo. 

“Saya pernah terbabit dalam Super Spontan Raya, mungkin daripada situ mereka lihat karakter saya. 

“Namun, saya lebih selesa dikenali sebagai pelakon, bukan pelawak kerana bukan mudah untuk menjadi seorang pelawak,” katanya. 

Semasa program yang memasuki minggu keempat, minggu lalu, Langkataksuka menjadi kumpulan pertama tersingkir. 

Ramona yang bersama kumpulan Campaktakjauh dengan mentornya, Douglas Lim, masih beraksi bersama ahli kumpulan lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Atu Zero, Noreen Iman dan Akay Pikir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN