Kopi berkualiti tak semesti mahal

Kopi berkualiti tak semesti mahal

GOLONGAN muda lebih gemar menikmati kopi berasaskan susu berbanding kopi O.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau dulu kopi terutama kopi O, dikatakan sebagai minuman kegemaran orang lebih berusia tetapi kini kopi dikaitkan dengan gaya hidup moden yang sibuk. Malah menikmati kopi di kafe berjenama memberikan persepsi gaya hidup urban dan mewah berikutan harga sesetengahnya yang agak mahal.

Kebelakangan ini, generasi muda juga semakin gemar menikmati kopi ketika bersosial bersama rakan. Tidak kurang juga yang gemar menghabiskan masa di kafe untuk menikmati secawan kopi sambil bekerja menggunakan komputer riba masing-masing.

Bagaimanapun, Pengarah Pembangunan Perniagaan Gigi Coffee, Sean Lai berkata, menikmati kopi berjenama mewah sebagai lambang gaya hidup hanyalah sekadar persepsi semata-mata. Kopi berkualiti tidak semestinya mahal.

“Sekitar sedekad lalu, sememangnya minum kopi di kafe berjenama nampak mewah dan seakan simbol kepada status seseorang. Ketika itu tidak banyak kafe lagi seperti hari ini. Kini, pengguna boleh memilih kafe yang memenuhi citarasa mereka.

“Dulu kalau masuk kafe berjenama bawa RM20 pun memang belum tentu cukup. Tapi sekarang, minuman ini mampu dibeli pada harga serendah RM8 hingga RM12. Kualitinya pun tidak banyak beza dengan jenama terkenal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Lai, Gigi Coffee menawarkan biji kopi dari Columbia dan Indonesia yang menawarkan rasa yang berbeza. Kopi Indonesia rasanya lebih kuat dan berwarna gelap sederhana. Manakala kopi dari Columbia pula menawarkan rasa berasaskan buah-buahan dan lebih ringan. Pelanggan boleh pilih jenis kopi mengikut citarasa masing-masing.

Lai ditemui pada sesi sidang akhbar mengenai penganjuran International Coffee and Beverage Show (ICBS) 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), baru-baru ini. Turut hadir, Presiden Malaysia Specialty Coffee Association (MSCA), Kelvin Ngow Wai Hng, Pengarah Urusan Falcon Coffees, Richard Williams, Pengarah Jualan APAC, Dutch Lady Milk Industries Berhad, Majid Zaman.

Sementara itu, Majid berkata, kebanyakan rakyat di negara ini terutama golongan muda lebih gemar menikmati kopi berasaskan susu berbanding kopi O atau kopi hitam.

“Saya berada di Thailand baru-baru ini dan mendapati kopi O kini semakin popular dan digemari oleh penduduk di negara itu. Bila balik ke Malaysia, saya dapati permintaan kopi berasaskan susu lebih tinggi di negara ini berbanding di negara jiran,Thailand.

“Minum kopi O saja mungkin kurang sesuai dengan cuaca yang panas kerana ia boleh menyebabkan badan lebih cepat mengalami dehidrasi berbanding minum kopi berasaskan susu,” katanya.

Kevin Ngow berkata, Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Australia di mana kopi berasaskan susu mencatat jualan nombor satu seperti caffe latte. Permintaan cappuccino juga turut mencatatkan jualan tinggi.

“Berdasarkan statistik pelanggan kami, menunjukkan kopi berasaskan susu mendapat permintaan tinggi di Malaysia diikuti kopi O. Kebanyakan kopi kini lebih banyak menggunakan susu segar berbanding susu pekat manis yang digunakan di kopitiam atau warung,” katanya.

PATRICK Chin.

Pada sesi itu juga, media berpeluang menyaksikan kemahiran salah seorang barista terkemuka di negara ini, Patrick Chin dari kafe Kings Hall. Chin berpengalaman selama tujuh tahun dalam industri barista mempamerkan kemahiran membentuk corak flora dan fauna seperti burung kelicap, tupang, bunga tulip dan unicorn.

“Saya mengambil masa antara tiga hingga enam tahun bagi menguasai kemahiran membentuk corak-corak menarik di atas kopi. Setakat ini saya berupaya membentuk lebih daripada 10 corak haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

“Seni latte menambah keseronokan menikmati secawan kopi. Ini antara tugas seorang barista apabila menghidangkan lebih daripada secawan kopi kepada pelanggan. Saya gembira apabila pelanggan tersenyum melihat hasil kerja saya,” katanya.

Pameran bertaraf dunia

Richard berkata, ICBS 2023 dianjurkan oleh Montgomery Asia dengan kerjasama MSCA adalah pameran bertaraf dunia. Ia bermatlamat meraikan sebahagian daripada ekonomi gaya hidup Malaysia yang berkembang pesat.

“Pameran ini membabitkan kira-kira 250 jenama dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Australia, Netherlands dan Itali. Ia akan menumpukan kopi istimewa, minuman, produk makanan dan minuman (F&B) serta gaya hidup kafe, perabot, reka bentuk dan teknologi yang berkaitan dengan operasi kafe.

“Pengunjung boleh menikmati inovatif kopi yang dipanggang di ‘Roasters Pavillion’ dengan 15 syarikat yang menyertai pameran ini akan mempamerkan keunikan kopi masing-masing,” katanya.

Lebih menarik, sempena pameran itu, Montgomery Asia dengan kerjasama MSCA turut menganjurkan pertandingan separuh akhir dan akhir Malaysia National Coffee Vhampionship (MNCC) edisi ke-8.

Barista Malaysia telah pun mencapai kejayaan yang menakjubkan pada acara WCC sebelum ini, termasuk memenangi pingat emas dalam Latte Art pada 2018 dan pingat perak dalam Piala Brewers pada 2018. Terbaharu, WCC 2022 menyaksikan Malaysia menduduki tempat keempat dalam pertandingan Seni Latte. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya