Ketirisan diesel subsidi nelayan sudah jadi ‘barah’ - Utusan Malaysia

Ketirisan diesel subsidi nelayan sudah jadi ‘barah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isu penyelewengan dan ketirisan diesel subsidi kepada nelayan sudah menjadi ‘barah’ yang merosakkan sistem ekonomi dan pembangunan negara serta memberikan implikasi cukup besar kepada sosioekonomi pengguna.

Negara kerugian berbilion ringgit setahun apabila subsidi diesel yang sepatutnya digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan dan meningkatkan stok simpanan hasil laut negara, diseleweng serta dijual bagi mengaut untung ‘atas angin’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada pembenta­ngan Belanjawan 2023 sebelum ini mendedahkan negara kerugian hampir RM10 bilion sepanjang 2022 kerana penyelewengan bahan api berkenaan.

Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendakwa, disebabkan ketirisan kebocoran salah guna diesel subsidi, segala beban ditanggung pengguna yang terpaksa membayar mahal untuk membeli sumber makanan hasil laut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, isu penyelewengan dan ketirisan diesel subsidi tidak akan ber­akhir selagi ‘tangan-tangan ghaib’ yang ‘menghalalkan’ kegiatan itu terus dibiarkan bermaharajalela.

“Kegiatan ini merosakkan ekonomi dan pembangunan negara serta memberi implikasi besar kepada sosioekonomi pengguna, ia disebabkan ketidakcekapan pengurusan atau terlepas pandang oleh jabatan dan kementerian berkaitan atau kemungkinan besar kerana rasuah.

“Disebabkan ketirisan kebocoran salah guna diesel subsidi, segala beban diletakkan di bahu pengguna. Jika subsidi yang melibatkan berbilion ringgit dise­lamatkan, sudah tentu rakyat dapat menikmati pelbagai inisiatif dan faedah yang memuaskan kehidupan seharian dengan selesa.

“Tetapi apa yang berlaku, kerana kerakusan rasuah dan ketidakcekapan pengurusan, terutama penglibatan ‘tangan-tangan ghaib’ telah melindungi mafia-mafia dan kartel-kartel yang menyeleweng diesel subsidi disasarkan kepada pengguna di negara ini,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, sumber agensi yang enggan dikenali ketika bercakap kepada Utusan Malaysia dilaporkan sebagai berkata, lima modus operandi dikesan digunakan pihak bertanggungjawab bagi menyeleweng diesel subsidi nelayan yang mana jumlah ketirisan selama 17 tahun iaitu sejak 2006 subsidi dilaksanakan dianggarkan berjumlah lebih RM8.5 juta.

Mohd. Firdaus berkata, kerajaan perlu segera bertindak tegas dengan menubuhkan jawatankuasa khas di Jabatan Perdana Menteri menyiasat ketirisan barangan bersubsidi.

Katanya, ia perlu diketuai Jabatan Perdana Menteri dengan dianggotai Kementerian kewa­ngan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Pejabat Peguam Negara; Pejabat Akauntan Negara; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Integriti.

“Ia perlu melibatkan agensi penguat kuasa seperti Polis Marin; Agensi Penguatkuasaan Ma­ritim Malaysia (Maritim Malaysia); Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Bank Negara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu perlu melakukan kaji selidik dan audit forensik secara keseluruhan terhadap semua pemain industri membabitkan diesel, petrol, minyak masak, gas LPG dan barangan bersubsidi lain.

“YPNM memohon forensik ini dilakukan lima tahun kebelakang di seluruh negara melibatkan golongan peruncit, pemborong, pengedar, pembungkus dan pengilang.

“Menerusi tindakan ini, kerajaan akan dapat mengenal pasti kartel-kartel dan sindiket-sindiket yang merosakkan ekonomi negara dan boleh dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN