PETALING JAYA: Siasatan telah pun dijalankan terhadap seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan digelar ‘mafia korporat’ kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap ahli perniagaan di sebuah restoran di Jalan Dutamas, di sini.
Difahamkan, dua kejadian berasingan berlaku pada 6 Jun dan 14 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, siasatan berkenaan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
“Siasatan kini di peringkat akhir dan akan dirujuk kepada pihak TPR,” katanya secara ringkas semalam.
Sebelum itu, media melaporkan, kejadian berlaku ketika ahli perniagaan berusia 63 tahun itu mengadakan pertemuan bersama suspek berusia 54 tahun dan seorang lagi rakan.
Suspek dipercayai tidak puas hati apabila mangsa tidak menunaikan permintaan supaya melantiknya dan seorang lagi rakan sebagai pengarah syarikat.
Suspek kemudiannya didakwa menunjukkan sepucuk pistol yang diselit pada seluar sambil mengugut mahu menembak mangsa.
Dalam pertemuan kedua pula, suspek sekali lagi mengugut dan menampar mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran kecil sebelum dileraikan seorang rakan mereka.
Berikutan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN