GURUN: Kerajaan yakin dengan kemampuan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk terus membekalkan baja subsidi kepada para pesawah di negara ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kontrak pembekalan semasa NAFAS yang akan tamat pada hujung tahun ini dilihat tidak bermasalah untuk ditawarkan dengan kontrak baharu.
“Kita akan mengadakan perbincangan mengenai kontrak NAFAS terhadap pembekalan baja subsidi kepada pesawah atau petani di negara ini. Insya-Allah, NAFAS mampu menjaga kebajikan peladang, kalau ada kelemahan-kelemahan kita baiki dari semasa ke semasa.
“Saya tak berani kata 100 peratus (untuk meneruskan kontrak pembekalan), tetapi NAFAS ini adalah satu badan yang ditubuhkan oleh kerajaan, sudah tentulah kita mahu NAFAS terus ‘bernafas’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB) bagi meninjau sendiri proses pembuatan, gudang penyimpanan serta mendapatkan gambaran secara menyeluruh proses pembuatan baja bagi skim subsidi kerajaan oleh NAFAS di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS, Datuk Zamri Yaakob; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd. Shaharil Nik Md. Hashim dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.
MNFSB merupakan syarikat usahasama NAFAS dan Petronas Chemicals Fertilizer Kedah Sdn. Bhd. yang mula beroperasi pada tahun 2004.
Aktiviti pengilangan baja di kilang MNFSB memproses pelbagai jenis baja di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Baja NPK Tambahan di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB).
NAFAS mempunyai rantaian pembekalan lengkap dan menjalin kerjasama strategik yang aktif bersama Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Malaysia bagi menjayakan program pembekalan baja SBPKP, SIPP dan SBRPB kepada para petani.
Mohamad berkata, pembekalan baja tersebut merupakan program kerajaan untuk mengurangkan kos pengeluaran padi di samping meningkatkan pendapatan petani dan pesawah seluruh negara.
“NAFAS juga memberi jaminan bekalan baja pada tahun ini mencukupi di seluruh negara dan akan sampai mengikuti jadual penanaman padi yang ditetapkan.
“Saya harap para petani tidak perlu risau dengan isu tersebut termasuk dari segi kualiti baja yang dibekalkan, cuma mereka perlu mendaftar awal atau mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelak kelewatan,” katanya.
Selain itu, Mohamad kagum dengan pencapaian NAFAS yang baru-baru ini mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak lapan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).
“Walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu di seluruh dunia, NAFAS dapat dividen lapan peratus pada tahun ini. Kita ucap tahniah kerana dalam suasana sukar ini dapat juga beri dividen kepada mereka pelabur yang kesemuanya terdiri daripada para peladang,” katanya.
Sementara itu, NAFAS turut memperkenal produk baja baharu keluaran MNFSB iaitu Silgrow Plus iaitu baja mineral silikon yang berfungsi sebagai perapi tanah.
Baja tersebut antara lain dapat menggalakkan akar, mempergiatkan proses fotosintesis, menguatkan daya ketahanan tanaman terhadap penyakit dan serangga perosak. – UTUSAN