Kerajaan telah guna RM158 bilion daripada Belanjawan 2023

PARLIMEN: Kerajaan telah guna RM158 bilion daripada Belanjawan 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membelanja sejumlah RM158 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2023 sehingga Mei lalu bagi tujuan meringankan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rekod itu disifatkan sebagai kapasiti terbaik untuk suku tahun pertama dibandingkan tahun-tahun sebelumnya. 

Jelasnya, ia antaranya melibatkan RM3 bilion bayaran fasa pertama dan kedua Sumbangan Tunai Rahmah untuk lapan juta penerima.

“Selain itu, bantuan khas kewangan kepada lebih satu juta pesara dan 1.3 juta penjawat awam, RM3 bilion untuk subsidi elektrik, RM11 bilion subsidi produk petroleum dan RM800 juta bantuan awal persekolahan.

“Pengecualian setem 100 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga tidak lebih RM500,000, pengecualian duti setem 75 peratus untuk pembelian rumah berharga di antara RM500,000 hingga RM1 juta.

“Duti setem ke atas surat pindah milik harta tanah serta secara kasih sayang melibatkan ibu bapa anak, datuk, nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada satu juta pertama nilai harta tanah,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Noraini Ahmad [BN-Parit Sulong] meminta kerajaan menyatakan jika kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan Belanjawan Negara.

Noraini turut bertanya mengenai pembaharuan dibuat oleh kerajaan dalam pendekatan serta tata kelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan dan kebocoran wang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN