PETALING JAYA: Seorang pelajar sekolah menengah dari Pulau Pinang terpaksa melupakan cita-citanya untuk mewakili Malaysia dalam sukan renang kerana tidak memiliki taraf kewarganegaraan.
Angeline May Soon, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist Pulau Pinang berkata, sejak sekolah rendah dia aktif menyertai sukan renang dan dibenar mewakili pertandingan renang peringkat sekolah dan dalam tempoh itu dia mengumpul lebih 60 pingat.
Kata gadis itu, selepas memasuki sekolah menengah dia yang kecewa tidak dapat mewakili negara dalam sukan renang telah berhenti berlatih sukan itu.
“Keluarga sudah berusaha sejak saya kecil untuk mendapat taraf kewarganegaraan namun sehingga kini tiada kewarganegaraan kerana masalah bapa saya rakyat Malaysia manakala ibu saya warga Indonesia tidak mendaftar perkahwinan mereka ,” ceritanya semasa ditemui pada perjumpaan Stateless Malaysians Citizenship Movement (SMCM) di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Biro Perhubungan Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong yang mewakili kerajaan perpaduan. Lebih 200 individu bersama keluarga masing-masing turut menyertai perjumpaan ringkas untuk berkongsi masalah hidup masing-masing tanpa kewarganegaraan.
SMCM ditubuhkan untuk menyuarakan hak kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan atas pelbagai faktor antaranya anak angkat yang tidak ada pengenalan diri dan ibu bapa tidak mendaftar perkahwinan.
Bercerita lanjut, Angeline berkata, menerusi perjumpaan komuniti SMCM dia menaruh harapan agar nasibnya akan berubah dengan segera diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.
“Saya bersama keluarga saya terbang dari Pulau Pinang untuk menghadiri perhimpunan ini demi mencari penyelesaian masalah kewarganegaraan saya,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa yang dikenali sebagai Wilson menerusi sesi pertanyaan bersama Choo Seong memohon kerajaan mempertimbangkan alternatif supaya kerajaan memberi kelonggaran untuk anak-anak tanpa kewarganegaraan memiliki lesen memandu, dibenar belajar di universiti tempatan atas kelayakan, memberi buku teks sekolah percuma dan membuka akaun bank.
Menurutnya, anak-anak tanpa kewarganegaraan berdepan banyak kesukaran dan tekanan apabila banyak hak mereka dinafikan.
Sementara itu, Choo Seong berkata, beliau akan mengumpul semua luahan dan cadangan keluarga kepada individu tanpa kerakyataan untuk diserahkan kepada kerajaan.
Menurutnya, beliau memahami kesukaran menjalani kehidupan tanpa kewarganegaraan kerana mengetahui masalah menerusi saudaranya sebelum ini.
“Saya di sini untuk membantu ibu bapa mencari jalan dan cara yang berkesan dalam memohon kewarganegaraan anak-anak mereka supaya diberikan hak sebagai warganegara,” katanya. – UTUSAN











