KUALA LUMPUR: Penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK) adalah untuk menyiasat isi kandungan buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang dikatakan mempunyai fakta atau mendedahkan fakta berkaitan dengan rahsia serta maklumat kerajaan.
Kandungan buku yang menyentuh salah guna kuasa dalam pelantikan hakim dan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman serta pendakwaan terpilih dan pelanggaran sumpah rahsia telah menimbulkan rasa tidak senang dan kemarahan orang awam.
“Rentetan daripada rasa tidak puas hati itu, PPK ditubuhkan bagi mengumpul maklumat dan menjalankan siasatan awal berhubung isi kandungan buku tersebut dan bukannya untuk menyiasat plaintif (Tommy).
“Penubuhan PPK adalah sejajar dengan tindakan Kabinet dalam menjalankan tanggungjawab eksekutifnya mengikut peruntukan Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, PPK tidak boleh dikatakan ditubuhkan tanpa mengikut lunas undang-undang.
“Tindakan plaintif dalam saman pemula ini adalah melampau, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah. Oleh itu, kami menggesa mahkamah membatalkan keseluruhan saman pemula tersebut,” ujar Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.
Shamsul berkata demikian pada pendengaran permohonan PPK dan kerajaan untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Tommy yang mendakwa laporan oleh PPK adalah dokumen tidak sah dan bertentangan undang-undang di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Selain itu, dakwaan Tommy bahawa penubuhan PPK adalah untuk menjatuhkan reputasinya adalah sesuatu yang tidak berasas.
Ini kerana, Tommy sendiri tidak pernah memperinci bahagian atau perenggan dalam laporan tersebut yang dikatakan telah mencemarkan nama baiknya.
“Plaintif sendiri tidak pernah menafikan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang laporan polis terhadap kesemua defendan yang dikatakan melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Jika benar laporan tersebut telah menjatuhkan reputasinya, memalukan dan memfitnahnya, plaintif sepatutnya memfailkan saman fitnah dan bukannya saman pemula,” ujar Shamsul.
Terdahulu, peguam Mervyn Lai yang mewakili Tommy menghujahkan bahawa penubuhan PPk tersebut dibuat tanpa sebarang asas undang-undang tan sesuatu yang tidak pernah dilakukan di negara ini.
Ujarnya, tindakan yang dibuat oleh cabang Eksekutif kerajaan telah memprejudiskan jangkaan sah (legitimate expectation) Tommy bahawa siasat tersebut dilakukan dengan bebas, tidak berat sebelah dan profesional.
“Tujuan utama penubuhan PPK yang tidak sah dan pendedahan laporan yang tidak mengikut undang-undang termasuk waktu pendedahan laporan dibuat adalah untuk menyerang kredibiliti plaintif,”kata peguam itu.
Selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan 8 Ogos ini untuk keputusan permohonan tersebut.
Pada 27 Oktober lalu, Tommy memfailkan saman pemula dengan menamakan pengerusi dan kesemua ahli Pasukan Petugas Khas terbabit serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.
Pasukan Petugas Khas yang diwujudkan sekitar Disember 2021 dipengerusikan Penasihat Undang-undang dan bekas Peguam Besar Sarawak, Fong Joo Chung selain dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Sabah, Hashim Paijan serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Junaidah Kamaruddin.
Pasukan itu turut dianggotai bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara Jagjit Singh serta dua peguam Shaharudin Ali dan K. Balaguru selain wakil-wakil daripada kementerian/jabatan berkepentingan.
Menurut saman pemulanya, Tommy antara lain memohon perisytiharan bahawa Pasukan Petugas Khas dan ahlinya adalah badan tidak sah, tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.
Selain itu, turut dipohon adalah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.
Laporan yang dinyahklasifikasi kerajaan pada 13 Oktober lalu, antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan dilakukannya. – UTUSAN