KOTA BHARU: Kejatuhan nilai ringgit seolah-olah memberi ‘bonus’ kepada kumpulan penyeludup apabila permintaan untuk membawa keluar barangan subsidi negara ke Thailand menggunakan laluan tidak sah meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding sebelum ini.
Situasi itu didorong oleh permintaan tinggi tauke-tauke dan peniaga dari negara jiran ke atas barangan seperti petrol, diesel dan minyak masak peket yang dibeli pada harga murah selain memberi pulangan lebih lumayan berbanding produk sama keluaran Thailand.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, seorang penyeludup yang mahu dikenali sebagai Ja, 40, berkata, permintaan terhadap barang subsidi tersebut menunjukkan peningkatan ketara sejak ringgit jatuh.
Menurutnya, kadar tukaran semasa bagi RM100 ketika ini bersamaan dengan 760 baht memperlihatkan mata wang negara jiran itu lebih tinggi.
“Bila pitis Siam (baht) tinggi, permintaan untuk barangan Malaysia seperti petrol, diesel dan minyak masak peket pun meningkat.
“Bila permintaan tinggi, dapatlah rezeki lebih sedikit untuk saya menyara keluarga di saat berdepan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya.
Ja memberitahu, setiap hari dia mampu meraih pendapatan bersih antara RM250 hingga RM300 dengan membawa barangan kawalan itu ke sempadan sebelum dibawa keluar menggunakan laluan tikus.
Katanya, bagaimanapun dia sentiasa berwaspada kerana kawalan sempadan yang dilakukan oleh pihak berkuasa agak ketat ketika ini.
“Setiap kerja yang dilakukan perlu menggunakan strategi bagi mengelakkan bertembung dengan pihak berkuasa di sempadan,” jelasnya.
Seorang lagi penyeludup yang mahu dikenali Deris, 45, berkata, sejak akhir-akhir ini minyak diesel mendapat permintaan tinggi dari Thailand.
Katannya, untuk mendapatkan bahan api itu dia terpaksa membuat isian secara runcit dengan ‘menjelajah’ sekurang-kurang lima stesen minyak untuk memenuhkan tangki tambahan.
“Saya akui agak sukar untuk memperoleh diesel kerana belian bahan api itu dihadkan. Berbeza dengan petrol yang boleh diisi penuh tangki di satu stesen minyak sahaja,” katanya.
Bagi Husin, 50, pula, harga pasaran diesel dan petrol seludup yang dijual di Thailand tetap sama sekitar RM4 seliter.
Katanya, naik turun harga bahan bakar itu bergantung kepada bekalan yang diperoleh di Malaysia.
“Jika bahan bakar itu sukar diperoleh kami (penyeludup) perlu menaikkan harga untuk dijual ke negara jiran.
“Tetapi ketika mata wang Malaysia jatuh ini ia memberi keuntungan besar kepada penyeludup.
“Ini kerana mereka mendapat bahan bekalan dengan harga murah dan menjual di Thailand dengan harga sama seperti sebelumnya,” jelasnya. – UTUSAN