ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan Kedah menerima pelaburan komited berjumlah RM5 bilion bagi suku pertama tahun ini.
Kata beliau, Kedah turut mencapai prestasi ekonomi yang memberangsangkan dengan merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.2 peratus pada 2021 serta pertumbuhan KDNK yang kukuh pada 2022.
“Ini merupakan manifestasi daripada usaha berterusan Kerajaan Tuanku melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif yang didasari Pelan Pembangunan Kedah 2035.
“Kejayaan yang dicapai ini diterjemahkan, antara lainnya melalui keyakinan komuniti industri untuk terus melabur di dalam negeri ini, yang mencatatkan jumlah pelaburan melebihi sasaran RM 10 bilion setahun untuk dua tahun sebelumnya berturut-turut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah yang ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, hasil pelaburan puluhan bilion ringgit itu bakal menjana 19,568 peluang pekerjaan kepada rakyat dan menjanjikan peningkatan hasil tambahan kepada kerajaan negeri.
“Momentum pelaburan yang berkembang pesat ini akan diteruskan melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Pembangunan Delapan SBEZ, Kedah Rubber City (KRC), pembangunan Kedah Aerotropolis, Kedah Science & Technology Park (KSTP) dan Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan,” jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri juga berusaha mempelbagai sumber hasil negeri dengan meneroka sumber alam Kedah yang kaya dengan khazanah bahan mineral untuk memastikan negeri itu mempunyai pendapatan yang stabil.
“Penemuan bahan mineral baharu iaitu unsur nadir bumi (REE) di negeri ini yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit dijangka dapat meningkatkan hasil pendapatan negeri melalui bayaran royalti.
“Di sebalik usaha eksplorasi sumber kekayaan baharu ini, pemuliharaan khazanah alam semulajadi tetap menjadi agenda utama bagi memastikan kelestarian alam sekitar kekal terpelihara,” katanya. –UTUSAN