ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah merupakan pemerintah yang sentiasa meletakkan kebajikan rakyat dan kemajuan negeri sebagai keutamaan baginda.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, nasihat dan pandangan baginda juga menjadi panduan kepada pihak pentadbiran dalam mengurus dan mentadbir Kedah.
“Keprihatinan berterusan baginda bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah memperkukuh hubungan mesra antara institusi diraja dan rakyat jelata.
“Baginda sentiasa memberikan pandangan bernas dan penuh bertanggungjawab termasuk dalam isu-isu yang paling sensitif, yang mana akhirnya pandangan baginda dapat diterima baik oleh semua pihak,” katanya.
Ujar Muhammad Sanusi, sebagai raja yang berjiwa rakyat, Sultan Sallehuddin memberi perkenan mewujudkan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) bertujuan membantu meringankan beban rakyat golongan miskin.
Katanya, baginda juga sering turun padang bagi meninjau sendiri situasi rakyat serta mendengar keluhan dan permasalahan yang dihadapi oleh mereka.
“Keprihatinan Tuanku Sultan dizahirkan dengan mencemar duli mengadakan lawatan ke premis-premis perniagaan bukan sahaja di Bandaraya Alor Setar malah di kawasan luar bandar seperti di Arked Tanjung Dawai, Pekan Kuala Nerang, Jerlun dan Pokok Sena.
“Baginda juga begitu mengambil berat usaha memelihara kelestarian alam sekitar flora dan fauna demi kepentingan generasi akan datang. Selain itu, khazanah berupa artifak dan monumen bersejarah juga sentiasa dipentingkan di bawah pemerintahan baginda,” katanya.
Beliau berkata, sifat dipamerkan Sultan Sallehuddin telah menjadi inspirasi untuk Kedah terus melangkah maju, memperkukuh kedudukan ekonomi, memelihara kestabilan sosial dan mempertahankan warisan budaya yang menjadi kebanggaan semua.
Tambahnya, Sultan Sallehuddin adalah manifestasi daripada prinsip ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ sehingga sifat mulia itu telah diteladani oleh anakanda-anakanda baginda.
“Tuanku Sultan juga berpengetahuan dan berpengalaman luas dalam bidang ketenteraan dan baginda sememangnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi sehingga menjadi contoh amat baik kepada rakyat jelata,” katanya. – MINGGUAN










