Kampung Baru Berapit bakal jadi Tapak Warisan Dunia - Utusan Malaysia

Kampung Baru Berapit bakal jadi Tapak Warisan Dunia

NGA Kor Ming (berdiri, tengah) ketika mengadakan lawatan kerja ke Kampung Baru Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Kampung Baru Berapit di sini terpilih dalam kalangan tujuh buah Kampung Baru di seluruh negara yang akan menghantar pencalonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi membolehkan kawasan penempatan itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, enam lagi kampung yang terpilih terletak di beberapa negeri lain termasuk Selangor, Perak, Melaka dan Johor.

Beliau berkata, ketika ini, pelbagai langkah berkaitan telah diambil termasuk memulakan kerja-kerja menaik taraf sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan ketujuh-tujuh Kampung Baru itu Tapak Warisan Dunia tidak lama lagi.

“Sekiranya semua (perancangan) berjalan lancar, menjelang 2026 kita akan tambah satu lagi Tapak Warisan Dunia selepas Georgetown (di Pulau Pinang) dan Melaka iaitu Kampung Baru,” katanya selepas sesi lawatan kerja ke Kampung Baru Berapit, di sini hari ini.

Ketika ini, terdapat 613 buah Kampung Baru di seluruh negara dan 14 daripadanya terletak di Pulau Pinang.

Kampung Baru Berapit yang kini berusia 75 tahun bagaimanapun merupakan satu-satunya Kampung Baru di negeri ini yang terpilih untuk pencalonan berkenaan.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, pihaknya telah meluluskan peruntukan RM4.02 juta untuk 22 buah projek naik taraf itu dengan 19 daripadanya yang bernilai RM2.88 juta diletakkan di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Katanya, baki tiga lagi projek iaitu bernilai RM1.13 juta dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Antara projek naik taraf yang dilaksanakan itu termasuk kerja-kerja pembangunan infrastrukur dan pengukuhan sosio ekonomi seperti jalan, parit, longkang, laluan pejalan kaki tembok dan lampu.

“Ia (kerja-kerja menaik taraf) juga membabitkan dewan orang ramai, balai raya, gelanggang bola keranjang, landskap, tandas awam, pondok pintu gerbang dan pintu gerbang,” ujar beliau.

Tambah Kor Ming, pihaknya turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM660,000 untuk Kampung Baru Berapit iaitu melibatkan kerja-kerja penurapan jalan, menaik taraf medan selera serta pemasangan kilang siling di medan selera tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya