Jurang pencapaian SPM 2022 sekolah bandar, luar bandar

Jurang pencapaian SPM 2022 sekolah bandar, luar bandar Sabah melebar

MOHD. Zaini Yanin (tiga kiri) menyampaikan keputusan SPM 2022 kepada pelajar terbaik Sabah di Dewan SMK Agama Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sabah menunjukkan peningkatan dengan catatan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 5.22.

GPN itu menunjukkan perbezaan sebanyak 0.13 berbanding 5.35 yang direkodkan pada SPM 2021.

Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan dan Perancangan PPD) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Mohd. Zaini Yanin berkata, seramai 34,461 orang calon yang menduduki peperiksaan SPM 2022.

Katanya, biarpun pencapaian keseluruhan SPM 2022 menunjukkan peningkatan tetapi, jurang pencapaian calon antara bandar dan luar bandar dilihat semakin melebar iaitu 0.61 mata berbanding 0.53 mata pada SPM 2021.

Menurut beliau, JPN Sabah akan mengkaji semula faktor yang menyebabkan jurang pencapaian itu semakin melebar.

“Itu kita akan tengok balik keseluruhan sebab dia memerlukan satu kajian semula. Memang nampak ada jurang tapi, kita akan tengok semula.

“Kalau kita tengok sekolah rendah dan menengah di Sabah kebanyakan berada di luar bandar jadi, kita akan tengok balik apa lagi yang perlu diperbaiki.

“Di pihak JPN akan terus melihat usaha mempertingkatkan kejayaan anak-anak di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar keputusan SPM 2022 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd. Zaini berkata, seramai 92.37 peratus layak mendapat sijil dengan sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Calon yang layak menerima sijil menunjukkan peningkatan sebanyak 2.61 peratus, berbanding bilangan calon yang layak mendapat sijil pada SPM 2021 iaitu hanya 89.76 peratus daripada 39,250 orang calon.

Seramai 12,026 calon sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada SPM 2022. Calon yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran pula adalah seramai 344 orang berbanding 253 orang calon yang menduduki SPM 2021.

Dari segi peningkatan keputusan mengikut mata pelajaran pula, enam mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan dengan Sejarah menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi, iaitu sebanyak 0.24 mata.

Terdapat seramai 12 orang pelajar terbaik SPM 2022 di Sabah yang mengambil 10 hingga 12 mata pelajaran dengan sekurang-kurangnya 8A+.

Antara pelajar cemerlang ialah Arief Syafiq Ajie Prasastie daripada SMK Agama Kota Kinabalu yang memperoleh 12A; manakala, lima calon dari Sekolah Menengah (SM) Islamiah Tawau iaitu Danish Shahrin Mohd. Hussin, Nur Damia Hasanuddin, Nur Faziratul Ain Kasim, Nurhazimah Hamzah dan Farzana Nur Haziyah Daud memperoleh 11A.

Calon berkeperluan pendidikan khas yang memperoleh keputusan cemerlang pula ialah Hannah C. Kissol (pelbagai) dari SMK Stella Maris, Hafizi Ilham Shah Hassim (penglihatan) dari SMK Tungku Lahad Datu, Santriana Zeta Ronny Verus dari SMK Badin Tuaran (penglihatan), Nurhashazwan Jakariah (pelbagai) dari SMK Stella Maris, Dayang Nur Arinah Awang Ahmad (fizikal) dari SMK Perempuan Kota Kinabalu dan Muhammad Nabil Izzat Mohammad Talip (percakapan) dari SMK Tansau.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN