Johan qari pada awalnya sasar tempat ketiga - Utusan Malaysia

Johan qari pada awalnya sasar tempat ketiga

BARISAN pemenang majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444/2023M dari kiri Ahmad Ikmal Mohd. Ridhuan; Muhammad Qayyim Nizar Sarimi; Nor Hidayah Abd. Rahman dan Dian Karisma Mohd. Japar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sentiasa berlatih tanpa jemu menjadi resipi kejayaan buat qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, dinobat sebagai johan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444/2023M.

Kejohanan itu berlangsung di Butterworth Arena dekat sini malam kelmarin.

Penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Tahfiz itu berkata, latihan berterusan diperlukan bagi memperkemas bacaan menggunakan al-Quran Braille.

Muhammad Qayyim merupakan golo­ngan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Beliau akan berlatih sendirian dalam tempoh setengah sehingga sejam setiap hari selain sesi latihan bersama guru.

“Sejujurnya saya tidak me­nyangka memperoleh kemena­ngan ini kerana ramai qari lain yang bacaannya jauh lebih hebat.

“Dalam hati dapat tempat ketiga pun jadilah, namun amat bersyukur apabila diumumkan sebagai johan.

“Saya sudah berkecimpung dalam dunia tilawah sejak usia sembilan tahun dan akan me­ningkatkan latihan sebagai persediaan mewakili negara ke pe­ringkat antarabangsa,” katanya.

Muhammad Qayyim adalah qari pertama OKU yang berjaya menjadi johan sejak pertandi­ngan berprestij itu bermula pada 1947.

Terdahulu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyem­purnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang turut menyaksikan Negeri Sembilan muncul juara keseluruhan.

Sementara itu, Nor Hidayah Abd. Rahman, 32, yang dinobatkan sebagai johan tilawah kategori qariah menyifatkan kemenangan itu amat bermakna susulan sudah tujuh kali berturut-turut mewakili Terengganu dalam pertandingan tersebut.

Penolong Pegawai Tadbir itu berkata, beliau berlatih setiap kali selesai solat maghrib atau isyak.

“Peserta kali ini bukan calang-calang kerana masing-ma­sing memiliki kekuatan tersendiri, namun saya amat bersyukur atas kemenangan ini.

“Selepas ini, latihan perlu di­tingkatkan malah banyak persiapan yang perlu dilakukan untuk mewakili negara ke pe­ringkat antarabangsa,” katanya.

Peserta dari Johor, Ahmad Ikmal Mohd. Ridhuan, 21, yang diumumkan johan hafiz bagi kategori 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir dan peserta Sabah, Dian Karisma Mohd. Japar, 18, dinobatkan johan hafizah turut tidak menyangka kemenangan akan berpihak kepada mereka kali ini.

Program yang berlangsung selama enam hari bermula 11 Jun lalu itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disertai 108 peserta tilawah serta hafazan yang mewakili 14 negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN