Jenazah ADUN Belantik selamat dikebumikan

Jenazah ADUN Belantik selamat dikebumikan

JENAZAH Mohd. Isa Shafie dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Surau Al-Badru, Kampung Jering di Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd. Isa Shafie yang meninggal dunia semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Surau Al-Badru, Kampung Jering, di sini kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Kira-kira 1,000 orang termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan pemimpin setempat lain menyertai solat jenazah yang diadakan di rumah Allahyarham di Kampung Jelutong serta surau berkenaan.

Mohd. Isa, 69, meninggalkan isteri, Che Faridah Md. Desa, 61, dan lima anak, Muniratul Akmar; Ameeratul Akmar; Mohd. Saiful Munir; Mohd. Fakhrul Munir dan Mohd. Shahidal Munir selain seorang ibu yang sudah uzur, Esah Mehat, 92.

Sementara itu, anak bongsu Allahyarham, Ameeratul Akmar, 32, berkata, ayahnya demam pada 3 Mei lalu dan pada keesokan harinya terjatuh di bilik air rumah mereka lalu dibawa ke Hospital Sik menaiki ambulan.

“Kami kemudiannya dimaklumkan yang keadaan abah kritikal perlu dipasang alat bantuan pernafasan sehingga perlu dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH). Semalam genap 40 hari dan doktor maklumkan keadaan abah 50-50 sepanjang ditidurkan, dua kali abah sedar tapi tak banyak berbual.

“Semalam kami balik pukul 7.30 malam, sampai di rumah pukul 9.30 malam dimaklumkan abah semakin kritikal, kami bergegas ke sana dan tiba dua minit selepas abah menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anak sulung Allahyarham, Muniratul Akmar, 44, pula berkata, Mohd. Isa sempat berpesan agar mereka lima beradik dapat menjaga ibu.

“Doktor maklumkan, empat daripada enam organ utama iaitu jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang sudah dijangkiti kuman dan hanya bergantung kepada antibiotik.

“Saat-saat terakhir abah, kami semua anak-anak sempat berada di sisi dan doktor bagi kebenaran untuk kami berada dekat dengannya, mengajar dia mengucap,” katanya.

Mohd. Isa meninggal dunia pada pukul 11.23 malam tadi di HSAH, Sungai Petani. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 2,574 undi.

Mohd. Isa menang pertama kali sebagai ADUN Belantik pada 1999 setelah menyertai PRU10 dan mempertahan kerusi itu pada pilihan raya seterusnya sebelum memberi laluan kepada calon lain. Pada 2018, walaupun sudah keuzuran beliau dicalonkan semula dan menang dengan majoriti 2,574 undi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya