Faizal Tahir Jaga anak sindrom down, kini usia setahun setengah

Faizal Tahir Jaga anak sindrom down, Maryam Tahirah kini berusia setahun setengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kelahiran anak ketujuh, Maryam Tahirah, yang merupakan anak istimewa sindrom down tahun lalu, ia benar-benar mengubah kehidupan Faizal Tahir. 

Jika dulu, penyanyi, penulis lirik dan komposer ini meletakkan kerjaya sebagai keutamaan berbanding keluarga, namun, kehadiran cahaya mata bongsu itu mengubah pendirian sebaliknya. 

Menginjak usia 45 tahun, katanya, peranan sebagai seorang bapa menjadi keutamaan serta melebihi tanggungjawab sebagai seorang penyanyi. 

“Kalau zaman ‘bajet bagus’ dulu, mungkin saya letak kerjaya dahulu sebelum keluarga dengan alasan kalau berjaya sudah tentu dapat menanggung keluarga. 

“Dengan anak-anak yang sudah makin membesar serta ada yang sudah habis sekolah, saya pun belajar daripada kesilapan, dan akhirnya sedar keluarga perlu menjadi keutamaan, barulah kerjaya akan menjadi lebih cantik,” katanya. 

Berkongsi pengalaman membesarkan Maryam yang kini sudah mencecah usia setahun setengah, Faizal berkata, dia perlu memberikan perhatian sepenuhnya kerana anaknya masih mempunyai masalah jantung dan perlu menjalani pembedahan. 

Sudah tentu sebagai bapa, kongsinya, dia berasa hiba melihat keadaan anak bongsu yang perlu dipasangkan tiub pada bahagian perut. 

“Cabaran paling besar sepanjang menjaga Maryam adalah saya perlu sentiasa bersedia kalau ada sebarang kemungkinan berlaku. Tiub itu bertujuan memberi bekalan ubat dan susu. 

“Dengan kondisi seperti itu, menyebabkan saya tak boleh bekerja jauh daripada keluarga. Kalau dahulu, boleh sahaja ambil bermacam-macam tawaran. Namun, kali ini saya perlu meluangkan lebih banyak masa dengannya. 

“Maryam juga adalah faktor kenapa saya kurang aktif menonjolkan diri sebagai penyanyi. Kalau ikutkan saya masih membuat persembahan untuk majlis korporat dan jemputan lain,” katanya. 

Untuk rekod, Faizal dan isteri mendirikan rumah tangga pada 2001 dan dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Ahmad Mikaeel Zidane, Ahmad Rifaei Zidane dan Khalid Al-Walid serta tiga anak perempuan iaitu, Siti Raudhah Nur Iman, Siti Rawdha Nur Jannah dan Siti Nawar Malaika. 

KONSERT AKU FAIZAL TAHIR 

Penyanyi lagu Mahakarya Cinta ini ditemui ketika sidang akhbar sempena konsert sulung berjudul Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre, 2 September depan. 

Konsert yang dianjurkan sempena 17 tahun dirinya berkecimpung dalam industri muzik juga merupakan masa tepat buat Faizal yang sudah mencetak pelbagai prestasi serta merangkul pelbagai anugerah. 

Bagi Faizal, objektif yang lebih penting daripada sekadar peminat melihat dirinya sebagai penyanyi yang memiliki kekuatan vokal atau persembahannya adalah bagaimana dunia seni juga menjadi sebahagian daripada fasa hidup lewat pengalaman yang dilalui. 

“Secara jujurnya, selepas 17 tahun baru sekarang terjadinya konsert solo Faizal Tahir. Ini kerana, saya sudah lama dipujuk oleh ramai pihak. 

“Saya akur akhirnya untuk buat konsert sendiri dan akur dengan pujukan itu. Mereka (pasukan pengurusan) telah meyakinkan saya untuk buat konsert ini,” jelasnya. 

Bercerita konsep dan kelainan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini membayangkan konsert itu akan membawa penonton melayari terowong masa dengan segmen-segmen yang membahagikan perjalanan seninya. 

“Konsert ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi sama-sama untuk kita mengambil sesuatu yang baik dan positif tentang kehidupan. 

“Ada sesi perkongsian dari zaman ‘poyo’, tak sedar diri sampai sedar diri. Sebuah revolusi perjalanan itu akan ada dalam konsert ini. 

“Saya mahu penonton pulang dengan sesuatu yang bermanfaat bagi diri masing-masing. Bukan sekadar sebuah konsert orang nyanyi, balik dan habis begitu sahaja,” kongsinya. 

Faizal bakal mendendangkan seleksi lagu hitsnya daripada lima album termasuk Aku.Muzik.Kamu, Adrenalin dan Faizal Tahir serta Anatomi & Rojak. 

Sebagai tanda kasih buat semua pihak yang mendukung perjalanan kariernya, Faizal merakamkan semula lagu Sampai Syurga yang akan menjadi hadiah atau momen paling berharga untuk diperdengarkan pada malam konsert.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya