Isa Samad hadapi masalah jantung, rayuan ditangguh lagi

Isa Samad hadapi masalah jantung, rayuan ditangguh lagi

MOHD. ISA ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda bagi kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, ditangguhkan kali kedua oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd. Isa memaklumkan, anak guamnya dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan sejak semalam kerana menghadapi masalah jantung.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin menetapkan rayuan didengar pada 16 Oktober ini.

Pada prosiding itu, Salehuddin memohon penanguhan kerana pihaknya menerima rekod perubatan berhubung keadaan kesihatan bekas pemimpin politik itu hari ini.

Beliau yang turut hadir bersama peguam Siti Sarah Khalil memaklumkan, penjamin yang merupakan isterinya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menerima suntikan bagi mengurangkan kesakitan pada lutut yang dihadapinya.

“Penjamin iaitu isteri mengalami sakit lutut dan menerima suntikan semalam menyebabkan dia tidak boleh berjalan. Kami sedia untuk berhujah pada rayuan hari ini namun mohon maaf atas atas segala kesulitan,” ujar Salehuddin.

“Masalah sakit ini tidak boleh nak buat apa, kita terima. Harap Tan Sri sihat pada tarikh akan datang,” ujar Hakim Hadhariah.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang mewakili pasukan pendakwaan tidak membantahan permohonan penangguhan itu.

Rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu ditangguh kali pertama pada 7 Mac lalu dan pendengarannya dijadual semula hari ini.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd. Isa, 73, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur di antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN