Institusi kerajaan kerana bertanggungjawab terhadap wang dibelanjakan

Institusi kerajaan mesti bertanggungjawab terhadap wang dibelanjakan

WAN SURAYA WAN MOHD RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institusi-institusi kerajaan mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap wang yang digunakan dengan setiap perbelanjaan haruslah memberi impak positif kepada kehidupan rakyat.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, hal ini kerana kepercayaan orang ramai terhadap sektor awam dan sebahagian besarnya adalah berdasarkan persepsi dalam aspek kecekapan, kebolehpercayaan dan kejujuran yang dipamerkan.

Justeru tegas beliau, sektor awam perlu beroperasi dengan kompeten, amanah, jujur dan berintegriti.

“Pengauditan ke atas penyata kewangan tahunan dan laporan prestasi agensi awam merupakan tanggungjawab utama yang digalas oleh Jabatan Audit Negara. Keutamaan saya pada ketika ini adalah untuk mengukuhkan peranan ini serta memastikan sistem audit sektor awam kekal mampan dan lestari.

“Jabatan Audit Negara akan sentiasa peka dan prihatin dalam menjalankan kuasa pengauditan untuk memeriksa dan menyiasat pengurusan wang awam dengan tumpuan kepada kepentingan rakyat dan akauntabiliti kementerian dan jabatan kerajaan terhadap wang pembayar cukai yang dibelanjakan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali memberitahu, pelantikan Wan Suraya berkuatkuasa 13 Jun dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas perundingan dengan Majlis Raja-Raja selaras Perkara 105(1) Perlembagaan Persekutuan.

Jawatan Ketua Audit Negara sebelum ini kosong selama hampir empat bulan selepas Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid tamat kontrak pada Februari lalu.

Malah, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini menggesa kerajaan segera mengisi jawatan Ketua Audit Negara dengan melantik individu berlatar belakang dalam perakaunan dan pengauditan.

Selain itu Wan Suraya menambah, Jabatan Audit Negara terus menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi awam dan badan lain yang berkaitan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Selari dengan peranan dan fungsinya, saya komited untuk bersama-sama warga Jabatan Audit Negara dalam usaha mentransformasi dan menstrukturkan semula sistem pengauditan serta memantapkan pengurusan kewangan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau komited dan beriltizam untuk memacu Jabatan Audit Negara menjadi sebuah institusi audit yang unggul berbekalkan pengetahuan dan pengalaman selama 29 tahun dalam perkhidmatan awam termasuk jawatan terakhir sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia.

Wan Suraya juga merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan melantik beliau sebagai Ketua Audit Negara mulai 13 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya