BAGAN DATUK: Penduduk daerah ini gembira kerana impian untuk melihat sebuah jambatan yang menghubungkan daerah ini dengan daerah lain dari pekan Bagan Datuk di sini akhirnya menjadi kenyataan apabila Jambatan Bagan Datuk-Sejagop dibuka kepada pengguna.
Ketua Kampung Bagan Datuk, Ismail Ibrahim, 59, berkata, sebelum ini dia tidak pernah bermimpi untuk melihat sebuah jambatan dapat dibina yang menghubungkan daerah ini dengan daerah lain.
Namun segala impiannya itu kini menjadi kenyataan dengan usaha Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Cadangan untuk membina sebuah jambatan yang menyeberangi Sungai Perak di sini sudah lama dirancang, iaitu sejak wakil rakyat sebelum ini lagi namun tidak pernah menjadi kenyataan sehinggalah Datuk Seri (Ahmad Zahid) menjadi wakil rakyat seterusnya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya jambatan ini dapat direalisasikan.
“Penduduk di sini bertuah kerana dapat menggunakan jambatan ini kerana ia memudahkan perjalanan untuk ke mana-mana destinasi seperti ke Sitiawan, Manjung, Teluk Intan mahupun ke Kuala Lumpur.
“Lebih penting, jambatan ini sudah tentukan akan memberikan impak ekonomi yang besar untuk daerah ini terutama aspek pelancongan. Kami bersyukur, ramai yang akan menerima manfaat daripada pembinaan jambatan ini, kepada penduduk di sini berusahalah mencari peluang perniagaan kerana kerajaan sudah membuka ruang untuk kemudahan akses jalan raya ke daerah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penduduk, Nurun Nuha Zainal Abidin, 27, berkata, pembinaan jambatan itu dapat memendekkan perjalanan dari Bagan Datuk ke daerah lain seperti Seri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada di Perak Tengah, Sitiawan, Manjung dan Lumut.
Katanya, sebelum ini untuk ke destinasi tersebut, pengguna terpaksa menempuh jalan jauh kerana perlu melalui Hutan Melintang.
“Sebagai penduduk saya bersyukur dan gembira kerana impian untuk kami melihat sebuah jambatan yang menghubungkan daerah ini dengan daerah lain akhirnya tercapai.
“Jambatan ini memudahkan kami untuk ke tempat lain dan lebih penting orang luar lebih mudah untuk datang ke sini dan ini akan memberikan kesan ekonomi yang baik kepada penduduk di sini,” katanya.
Peniaga makanan, Asmazatul Nurul Ain Mohd. Nordin pula menjangkakan perniagaan di pekan Bagan Datuk bakal rancak dengan kehadiran lebih ramai pengunjung berikutan siapnya jambatan tersebut.
“Sudah pasti ramai yang akan datang ke pekan ini kerana sudah ada akses yang lebih mudah untuk ke sini.
“Ini secara tidak langsung akan merancakkan perniagaan kami dan saya sendiri telah menambah meja bangku dan khemah di kedai saya bagi menampung jumlah pelanggan,” katanya. – UTUSAN











