KOTA BHARU: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan Bukit Bunga di sini mulai sesak apabila warga Thailand yang mencari rezeki di negara ini mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk Hari Raya Aidiladha esok.
Tinjauan Utusan Malaysia di kedua-dua ICQS hari ini mendapati suasana sesak mula kelihatan seawal pukul 7.30 pagi apabila rakyat Thailand memenuhi kawasan tersebut untuk menyelesaikan urusan berkait dengan imigresen.
Pada masa sama, motosikal tambang turut sibuk keluar masuk dari ICQS Rantau Panjang memunggah penumpang warga Thailand yang baru tiba menaiki bas dan van.
Seorang warga Thailand Hanin Seman, 35, berkata, setiap kali tibanya musim perayaan dia akan pulang ke kampungnya di Pattani untuk menyambut lebaran.
Katanya, dia bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di sini sudah mengambil cuti selama seminggu untuk pulang beraya.
“Saya turun awal pagi kerana sudah sedia maklum di ICQS Rantau Panjang akan mengalami kesesakan dan ambil masa lama untuk urusan mengecop pasport,” katanya ditemui di pekarangan ICQS Rantau Panjang di sini hari ini.

Bagi Ropeah Dollah, 40, berkata, tahun ini dia pulang ke kampung halamannya bersama suami untuk menjalankan ibadah korban.
Katanya, setiap tahun dia akan menyambut hari raya secara bergilir-gilir dengan suami yang merupakan rakyat Malaysia.
“Saya sangat teruja nak sambut Aidiladha di Thailand kerana ini kali pertama melakukan ibadah korban. Lagi pun ketika hari raya Aidilfitri saya tak dapat pulang beraya dengan keluarga sebelah Thailand,” ujarnya.
Sementara itu, Samad Norudin, 50, berkata, setiap tahun rakyat Thailand tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman untuk menjalankan ibadah korban.
“Kami teruja untuk pulang beraya di kampung halaman setiap tahun walaupun sudah lebih 30 tahun saya mencari rezeki di Malaysia.
“Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan sanak saudara dan membeli barangan dari Malaysia untuk berkongsi bersama ahli keluarga di kampung,” ujarnya.
Bagi Nariyah Dueromae, 59, dia bersama dua anaknya serta seorang adiknya akan pulang ke Sukhirin, Narathiwat untuk menyambut Aidiladha tahun ini.
“Walaupun sudah lebih 40 tahun menetap dan menjadi rakyat Malaysia apabila mendapat kad pengenalan, saya tidak lupa asal usul serta negara asal.
“Kemeriahan suasana beraya di Thailand berlainan apabila seluruh ahli keluarga akan pulang dan bergotong-royong bagi melakukan persiapan menyambut Aidiladha,” katanya.-UTUSAN