Hijab bukan penghalang jalani latihan ketenteraan - Utusan Malaysia

Hijab bukan penghalang jalani latihan ketenteraan

PELAJAR Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang berjaya mengikuti pengajian ketenteraan di Akademi Tentera Amerika Syarikat, Kadet Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari dan Kadet Ummi Annur Syahmina Sohaini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Berhijab bukan penghalang bagi Kadet Ummi Annur Syahmina Sohaini, 20, meneruskan pengajian di akademi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) malah ia masanya untuk menggalakkan lebih ba­nyak anak muda menyahut cabaran.

Jelasnya, namun pada awlanya dia pernah terfikir sama ada layak untuk menyertai akademi ketenteraan di AS kerana ia adalah tempat yang berprestij dan bukan mudah untuk mendapatnya.

Malah banyak proses seperti temu duga, ujian kecergasan dan ujian Bahasa Inggeris diadakan sebagai proses tapisan selama tiga hingga empat bulan lalu.

Menurutnya, di pering­kat permulaan, ada 10 peserta yang turut dicalonkan dan sembilan daripada mereka adalah lelaki namun akhirnya dia mendapat peluang tersebut.

“Saya pelajar dari sekolah menengah harian bukan Maktab Tentera Diraja (RMC), sebelum ini saya mempunyai cita-cita yang berbeza daripada nak jadi polis, doktor ke pakar psikologi tetapi selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berminat menjadi pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Walaupun gembira dan bersedia tetapi pe­rasaan bercampur baur kerana rasa tanggungjawab membawa nama Malaysia ke sana dan saya wanita berhijab pertama di sana.

“Ramai risau tentang saya dan menasihati supaya berhati-hati kerana tidak sama situasi Malaysia dan AS tetapi saya ingin membuktikan saya boleh.

“Sudah pasti akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri di sana tetapi saya tidak akan putus asa,” katanya.

Sementara itu, Kadet Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari, 20, berkata, bapanya merupakan seorang tentera darat dan pernah menjalani latihan di AS.

“Beliau merupakan inspirasi saya sejak kecil lagi,” katanya.

Ummi yang akan berlepas ke AS pada 18 Jun ini bakal menyambung Ijazah Sarjana Muda Penyelidikan Operasi dan Sains Data manakala Faidh pula ke sana pada 20 Jun mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN