KUALA LUMPUR: Rancangan Buku Hijau perlu dihidupkan kembali untuk mencetus semangat rakyat menanam sayur-mayur, waima dalam pasu sekali gus menangani cabaran isu sekuriti makanan.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, menerusi Buku Hijau, Perdana Menteri Tun Abdul Razak waktu itu merizabkan hak-hak tempat tanaman makanan serta menyemarakkan sikap menyayangi bumi.
“Tetapi sayang lepas beliau dasar itu mati, ini bukan sahaja Tun Razak, kebanyakan dasar semua perdana menteri kita mati bila perdana menteri itu mati ataupun tidak lagi berkuasa.
“Bumi hijau mesti hidupkan balik, sekarang orang Melayu tanam kacang pun tak nak. Sayur kita ditanam oleh orang Tionghoa, ayam, ikan…ayam telur kita, bukan orang Melayu jalankan.
“Kalau diteruskan (Bumi Hijau), pasti sekarang padi cukup, beras, sayur, ikan cukup. Sekarang ikan kita diambil (dicuri) oleh (nelayan) Vietnam dan tumbuhan sayur-mayur kita diurus oleh korporat besar, orang Melayu tak buat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Rais, 81, yang selesai khidmatnya selama tiga tahun sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 mula bercuti hari ini.
Beliau membangkitkan Rancangan Buku Hijau itu ketika ditanya akhbar ini tentang pengalamannya sepanjang 55 tahun berkhidmat dengan kesemua 10 Perdana Menteri.
Rancangan Buku Hijau diperkenalkan pada 1974 untuk melipatgandakan pengeluaran bahan-bahan makanan untuk keperluan negara, menambah pendapatan rakyat luar bandar sebagai usaha mengurangkan tekanan inflasi serta menggalakkan setiap lapisan rakyat supaya lebih cergas melibatkan diri dalam usaha pembangunan.
Ketika ini pengeluaran makanan dalam negara rendah akibat terlalu bergantung dengan import sehingga memberikan kesan tidak baik kepada negara.
Nilai import makanan negara boleh mencecah sehingga RM100 bilion menjelang 2025 berdasarkan statistik dan trend semasa antaranya disebabkan permintaan dalam negara melebihi penawaran.
Mengikut laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sebanyak RM75.54 bilion import makanan dicatatkan tahun lalu berbanding RM63.59 bilion pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus manakala RM55.4 bilion dicatatkan pada 2020.
Ditanya punca Rancangan Buku Hijau tidak diteruskan, Rais berkata, pengisian terhadap dasar yang bermanfaat itu tidak dilakukan kerana kecuaian para pemimpin Melayu.
“Sebab Melayu terlampau taksub dengan politik harian. Hari-hari cerita politik, bangun sahaja pagi politik, tiktok politik, fb politik, saya tak nampak kita ini serius tentang survival komuniti kita.
“Juga gelagat-gelagat seperti yang ada di kalangan menteri sekarang…menteri ekonomi penuh dengan data dan unjuran tapi tak ada apa-apa. Telur pun tak boleh atasi. Jadi, kita nak buat apa ini, takkan nak makan angin dengan ucapan sahaja,” katanya.
Rais berkata, selain Buku Hijau, semangat Rukun Negara juga perlu dikembalikan dengan menjadikannya satu akta khas atau sebagai mukadimah Perlembagaan negara.
“Rukun Negara ini pemikiran Tun Razak dengan (Tun) Ghazali Shafie (bekas Menteri Luar).
Rukun Negara adalah langsungan kepada tiga suku dari idea Pancasila Indonesia.
“Jika kekal Rukun Negara, kita top bersaing dengan Pancasila,” katanya. – UTUSAN









