SHAH ALAM: “Hanya 10 peratus bercakap buruk tentang biskut yang saya jual”.
Itu penegasan isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri berhubung sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pembeli dalam media sosial, baru-baru ini.
Menerusi video itu, pembeli tersebut meluahkan ketidakpuasan hati selepas dikatakan menerima bungkusan produk yang tidak kemas sehingga menyebabkan kandungan biskut di dalamnya hancur.
Nurul Shuhada berkata, dia sedar mengenai perkara itu dan berusaha menjejaki pelanggan tersebut, namun tiada sebarang maklum balas diberikan.
“Bila saya berusaha mengesan pelanggan itu, tak pula dia balas mesej di WhatsApp. Mereka sengaja hendak menjadikan isu dan cuba memanaskan keadaan.
“Tiada isu pun sebenarnya, kalau 10 pelanggan yang datang beli hanya seorang yang cakap ada masalah, yang lain itu hanya tambah garam sahaja,” jelasnya semasa ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam.
Sejak memperkenalkan perniagaan pertamanya dengan jenama biskut ‘Shelup Shelup Satu Tak Cukup’, ibu dua anak itu berkata, dia terbuka menerima sebarang maklum balas bagi tujuan penambahbaikan.
“Itu juga adalah satu pengajaran buat saya untuk mendalami lebih banyak ilmu tentang perniagaan seperti pemilihan produk serta bagaimana untuk kekal lama dalam bidang ini.
“Saya terbuka sahaja menerima komen daripada pelanggan,” katanya.
Semalam, pasangan itu gagal mencapai kata sepakat selepas Hafidz berubah fikiran di saat-saat akhir berhubung tuntutan hadanah (hak penjagaan) dua anak mereka.
Disebabkan itu, mahkamah sama menetapkan 12 September depan sebagai tarikh sebutan semula prosiding tersebut.