Hajiji ingatkan pimpinan Gagasan Rakyat perkemas jentera parti

Hajiji ingatkan pimpinan Gagasan Rakyat perkemas jentera parti

NIZAM Abu Bakar Titingan (empat kiri) bersama Hajiji Noor (tengah) selepas mesyuarat AMT Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) buat julung kalinya akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan pada 26 November depan.

Parti yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden itu dilancarkan pada Mac lalu.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan memaklumkan mengenai persidangan tahunan itu selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat hari ini.

Nizam berkata, sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), semua bahagian Gagasan Rakyat di seluruh Sabah telah diminta oleh Presiden parti untuk memperkemas jentera parti.

Katanya, AMT Gagasan Rakyat mengambil maklum atas sambutan dan respon positif daripada rakyat untuk menyertai dan memohon menjadi ahli parti.

Dalam mesyuarat itu, Gagasan Rakyat turut membuat ketetapan untuk kekal memberi sokonan penuh kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Di samping itu, Gagasan Rakyat juga menyokong dan mendukung segala usaha serta komitmen berterusan kerajaan perpaduan GRS Plus Sabah dalam menangani masalah yang diwarisi dari kerajaan terdahulu seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya serta keperluan lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Sabah yang lebih baik.

“Gagasan Rakyat juga menyokong komitmen berterusan kerajaan perpaduan GRS Plus Sabah dalam menuntut hak-hak rakyat dan negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, mesyuarat peringkat cawangan Gagasan Rakyat akan diadakan bermula pada 17 Julai hingga 31 Ogos manakala, mesyuarat bahagian pula akan berlangsung pada 23 September sehingga 15 Oktober.

Menurut Nizam, Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Pusat pula akan diadakan pada 25 November.

Jelasnya, pihak urus setia Gagasan Rakyat akan menghantar surat pekeliling berkaitan mesyuarat Tahunan ini kepada semua bahagian seluruh Sabah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya