ALOR SETAR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengingatkan ahlinya supaya tidak membangkitkan isu mengenai siapa yang akan menerajui Pulau Pinang sekiranya hasrat Perikatan Nasional (PN) mahu menawan negeri itu menjadi kenyataan.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada peristiwa lampau yang menyaksikan Gerakan ‘kehilangan’ Pulau Pinang sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.
Katanya, antara faktor yang membawa kepada ‘tragedi’ itu adalah perebutan jawatan Ketua Menteri dalam kalangan anggota parti itu sendiri.
“Dalam Konvensyen PN di Pulau Pinang saya dah nyatakan bahawa kita jangan bincang siapa akan jadi Ketua Menteri sekarang ini. Pastikan menang dulu dan selepas itu bincang siapa yang sesuai. Jangan bangkit juga siapa akan jadi Ketua Menteri sama ada Melayu, Cina atau India.
“Buat masa sekarang, perkara ini tak penting lagi kerana kita tak mahu kegagalan dihadapi pada 2008 berulang. Saya dah beri arahan, jangan bincang jawatan Ketua Menteri. Pastikan menang dulu, dapatkan mandat rakyat, barulah kita bincang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Kedah, di sini.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan gabungan itu tidak mustahil akan menang hampir 20 kerusi di Pulau Pinang dan mahu jentera bekerja lebih keras bagi menambah penguasaan untuk membentuk majoriti mudah dengan menang sekurang-kurangnya 21 daripada 40 kerusi.
Sementara itu Dominic mengakui, pemilihan parti yang terpaksa dijalankan ketika ini menjadi antara cabaran perlu dilalui Gerakan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana perlembagaan parti menetapkan proses itu mesti dijalankan lapan bulan selepas PRU berlangsung.
“Namun saya sudah berpesan kepada ahli supaya utamakan PRN berbanding pemilihan parti. Dengan kebijaksanaan ahli, kita mampu kurangkan impak pemilihan parti dan fokus lebih kepada PRN,” katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Dominic mendakwa Pakatan Harapan (PH) menyerang mereka dengan menggunakan taktik kotor terutamanya di Pulau Pinang, berhubung kebangkitan ‘gelombang hijau’ yang didakwa berlaku di beberapa negeri kebelakangan ini.
Katanya, terdapat dakwaan ditimbulkan kononnya jika PN menang di negeri itu, maka masyarakat bukan Islam sudah tidak boleh makan babi atau minum minuman beralkohol yang mana serangan itu disifatkan taktik untuk mendapatkan sokongan kaum bukan Melayu.
“Saya ingat lagi semasa Rumah Terbuka Hari Raya PN, saya pakai songkok dan baju Melayu tetapi orang serang kononnya Presiden Gerakan dah masuk Islam dan bersama Pas. Kalau mereka saja yang serang, saya faham. Tetapi akar umbi kita pun serang dan ini lagi saya tak faham,” katanya.
Menjawab perkara itu Dominic berkata, Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri mengenakan pakaian kaum Cina dikenali sebagai ‘tang zhuang’ sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan selain bersama-sama menggaul Yee Sang dan membuat kaligrafi Cina serta memberikan angpau kepada anak yatim.
“Oleh itu saya nak katakan, sekarang bukan gelombang hijau saja sebaliknya gelombang rakyat. Rakyat dah tak puas hati dan PRN kali ini boleh dijadikan sebagai referendum untuk menunjukkan perasaan itu kepada kerajaan Perpaduan yang ada sekarang,” katanya.
Tambahnya, PRN yang akan diadakan tidak lama lagi merupakan masa yang tepat untuk Gerakan ‘memecahkan telur’ setelah parti itu tidak berjaya memenangi sebarang kerusi dalam PRU14 dan PRU15.
“Statistik kita kini, sokongan orang Melayu kepada PN sebanyak 85 peratus. Saya lihat ia bukan saja akan kekal malah bakal bertambah kerana apabila saya bersama Muhyiddin di Pulau Pinang, semua kaum tak kira Melayu, Cina dan India mahu bergambar bersama.
“Dengan sokongan sebegitu, kita yakin akan menang kesemua 36 kerusi ditandingi PN di Kedah termasuk yang diwakili Gerakan. Saya percaya dan yakin, kita akan pecahkan telur dan menang kali ini termasuk dengan sokongan sepenuhnya daripada ahli-ahli Gerakan,” katanya. –UTUSAN










