KUCHING: Fasiliti dan pengurusan sekolah yang teratur serta kualiti kepimpinan yang ada di sebuah sekolah menjadi tunjang kepada kejayaan akademik para pelajar.
Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia Negeri Sarawak Datuk Dr. Azhar Ahmad, kemudahan yang disediakan untuk para pelajar mengikuti sesi pembelajaran adalah perkara utama pencapaian keputusan Sijil Pelaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022.
Bagaimanapun, beberapa strategi telahpun diatur bagi ketepikan masalah kekurangan kemudahan dan fasiliti di bandar mahupun luar bandar agar jurang kekurangan dalam pendidikan itu dapat diketepikan demi memberi fokus kepada objektif utama pendidikan.
“Ini menjadi satu perjuangan yang berterusan kepada kita di negeri Sarawak, khususnya untuk kita merapatkan jurang pencapaian kualiti pendidikan secara keseluruhannya untuk sekolah-sekolah yang berada di bandar dan di luar bandar, dan di peringkat kita sememangnya telah mengatur strategi yang berterusan untuk mengatasi masalah ini.
“Dalam pendidikan ini kita ada banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada kemenjadian dan kejayaan pelajar terutama sekali dari segi kepimpinan, pengurusan sekolah dari segi kualiti guru dan juga fasiliti-fasiliti di sekolah berkenaan” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas memnghadiri Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road di sini hari ini.
Dalam pengumuman tersebut, Datu Dr Azhar Ahmad mendedahkan pencapaian Gred Purata Negeri Sarawak calon SPM bagi tahun 2022 adalah 5.07 berbanding 5.17 pada tahun 2021, iaitu perbezaan sebanyak 0.10 mata.
“Daripada 32,810 calon yang menduduki peperiksaan SPM, seramai 684 calon (2.08%) memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 596 calon (1.80%) pada tahun 2021.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.28%. Mankala bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurang kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 5,480 calon (16,70%) pada tahun 2022 berbanding 4,960 calon (15.01%) pada tahun 2021 dengan peningkatan sebanyak 1.69%.
“Sementara itu, seramai 12,464 calon (37.99%) lagi telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2022, berbanding 12,547 calon (37.98%) pada tahun 2021 sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01% berbanding tahun 2021,” tambahnya.
Dalam hal yang sama, beliau turut mengumumkan prestasi SPM tahun 2022 berbanding SPM tahun 2021 telah menunjukkan peningkatan dan penurunan bagi beberapa mata pelajaran.
“Sebanyak 38 daripada 78 mata pelajaran telah mencatatkan peningkatan. Manakala 34 mata pelajaran telah mencatatkan penurunan. Sementara itu, 6 mata pelajaran telah menunjukkan prestasi tidak berubah atau kekal.
“Peratusan calon yang layak menerima sijil SPM tahun 2022 juga telah menunjukkan peningkatan, iaitu daripada 88.29% kepada 91.22%. Peningkatan ini adalah sebanyak 2.93%,” katanya.
Untuk rekod, seramai 132 orang Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), iaitu dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) telah menduduki peperiksaan SPM tahun 2022. Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 56.06% CBPK layak memperoleh sijil SPM tahun 2022.- utusan