Lebuhraya WCE dan jajaran FR2 dijangka menerima

Empat jajaran baharu WCE dibuka tahun ini

LYNDON Alfred Felix menunjukkan peta jajaran WCE dan FR2 sepanjang 275.8 km, di Klang, Selangor. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dan jajaran Laluan Persekutuan Malaysia 5 (FR5) dengan panjang keseluruhan 275.8 kilometer (km) dijangka menerima sekurang-kurangnya 300,000 kenderaan sehari apabila siap sepenuhnya pada hujung tahun hadapan atau awal 2025.

Lebuh raya kedua terpanjang itu berpotensi memindahkan serendah 20 peratus aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang menjangkau 1.8 juta pengguna sekali gus mengurangkan kesesakan di sana khususnya bahagian utara ketika musim perayaan.

Malah, pembukaan jajaran di Bandar Bukit Raja di sini dan Hutan Melintang, Lekir serta Changkat Chermin di Perak masing-masing melibatkan Seksyen 5, 8, 9 dan 10 sejak Mei 2019 meningkatkan aliran trafik sehingga 60 peratus pada tahun ini.

Jajaran sepanjang 73.4 km itu mencatatkan aliran trafik daripada 35,000 sejak kali pertama dibuka di Hutan Melintang, Perak dan meningkat kepada 50,000 hingga 60,000 purata kenderaan sehari pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WCE Berhad, Lyndon Alfred Felix berkata, pada tahun ini, empat jajaran akan dibuka iaitu Seksyen 1, 2, 6 dan 11 melibatkan kawasan seperti Banting, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Assam Jawa dan Taiping Selatan.

“Pembukaan jajaran di Seksyen 4 iaitu sambungan Lebuhraya Persekutuan yang kini mencapai 99 peratus pembinaan akan dibuka apabila urusan pengambilalihan tanah selesai di sekitar Jalan Kebun bagi Seksyen 3 yang menghubungkan Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

“Apabila urusan tersebut selesai, WCE akan menumpukan kepada pembinaan jajaran terakhir Seksyen 7 iaitu di Tanjong Karang sepanjang 29.5 km menghubungkan dengan Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan (FR5) yang dijangka siap pada akhir 2024,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Beliau menambah, menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha pada Khamis ini, lebuh raya tersebut bersedia menerima lebih 100,000 kenderaan apabila angka tersebut dicapai ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, malah ia sebenarnya meningkat berbanding 60,000 pada tahun lepas.

Disamping itu, WCE juga menjadi laluan signifikan dan unik di Pantai Barat Semenanjung apabila menghubungkan lokasi-lokasi pelancongan di Selangor dan Perak, selain berpotensi meningkatkan perdagangan menerusi keterhubungan antara Pelabuhan Klang , Lumut dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Lyndon Felix turut memaklumkan WCE amat sesuai bagi kenderaan perdagangan apabila tempoh masa perjalanan melalui lebuh raya tersebut dapat dijimatkan sekitar 30 minit hingga sejam.

“Dari sudut keselamatan, WCE lebih selamat kerana tidak melibatkan laluan berbukit dan berisiko sebaliknya laluannya adalah landai dan kurang selekoh, amat sesuai dilalui oleh kenderaan-kenderaan berat.

“Selain itu, WCE sesuai dilalui oleh penduduk yang khususnya tinggal di sekitar Shah Alam, Klang dan Kuala Langat yang mahu menuju ke utara tanah air tanpa perlu bertembung dengan pengguna dari Kuala Lumpur dan daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya