Elak permusuhan politik dalam Kerajaan Perpaduan - PM

Elak permusuhan politik dalam Kerajaan Perpaduan – PM

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Sentuhan Kasih Desa, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@NS Fest di Dataran Nilai, Nilai, Seremban, hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perbezaan politik sebagai senjata permusuhan perlu dihentikan sebaliknya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini perlu diterima kedua-dua belah pihak dengan hati terbuka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata, gabungan baharu itu memerlukan masa untuk bersatu selain keikhlasan demi kebaikan bersama dalam memperjuangkan masalah rakyat.

“Gabungan baharu ini kena ambil masa sedikit, geram lama tidak boleh macam itu, kena memaafkan kena ada keikhlasan, bukan maafkan untuk benarkan orang merompak atau fitnah kita.

“Maafkan ini untuk kita bawa kebaikan itu seperti disebut dalam al-Quran. Ini rahmat, kasih sayang. Rahmat dan kasih sayang itu penting. Berunding dengan kita termasuklah soal kerusi (Pilihan Raya Negeri) kemudian buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Majlis Sentuhan Kasih Desa, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @NS Fest di Dataran Nilai, Nilai, di sini hari ini.

Perdana Menteri menambah, tidak dinafikan dalam gabungan baharu PH dan BN itu ada perkara yang tidak dipersetujui, namun keputusan perlu dibuat.

“Dalam jemaah menteri pun ada yang tidak setuju dalam perbincangan. Tapi kita sudah putuskan jadi jalan terus dan tawakal pada Allah.

“Saya sebagai Perdana Menteri perlu buat keputusan, barulah kuat jemaah (menteri). Jadi kita mahu supaya dengan semangat ini kita bawa keluar (dalam politik),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar meletakkan kepercayaan bahawa rakyat akan terus memberikan sokongan kepada PH dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan yang akan diadakan tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN