DEWAN NEGARA: 1,979 warga asing ditangkap, tinggal lebih masa di Malaysia - Utusan Malaysia

DEWAN NEGARA: 1,979 warga asing ditangkap, tinggal lebih masa di Malaysia

WARGA asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen dekat kawasan penempatan haram Pulau Meranti, di Sepang, Selangor. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sehingga Jun tahun ini, seramai 1,979 warga asing telah ditangkap melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

Menjelaskan keadaan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya melalui Jabatan Imigresen tidak pernah berkompromi dalam aspek keselamatan melibatkan kemasukan dan keberadaan warga asing di dalam negara.

“Mengikut rekod sepanjang 2020 pihak Jabatan Imigresen telah menangkap seramai 4,293 warga asing yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa. Pada 2021, seramai 2,704 warga asing telah ditangkap melakukan kesalahan yang sama.

“Pada 2022 pula seramai 4,267 orang ditahan. Setakat 6 Jun ini, seramai 1,979 warga asing ditangkap melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

“Antara strategi yang dilaksanakan adalah mengenakan syarat keperluan visa ke atas warganegara asing tertentu. Ini bagi memastikan kemasukan pelancong asing adalah yang benar-benar bertujuan lawatan sosial, tulen, berkemampuan dari sudut kewangan dan tidak tergolong sebagai imigran larangan serta tidak termasuk dalam senarai syak Jabatan Imigresen,” katanya di Dewan negara hari ini. 

Terdahulu, Senator Hussin Ismail meminta kementerian menyatakan usaha-usaha kerajaan dalam mengatasi isu pelancong yang tidak keluar dari Malaysia setelah tamat visa pelancong tersebut dan berapakah bilangan kes yang telah disiasat berhubung dengan kewujudan unsur jenayah rasuah serta salah laku sepanjang proses kemasukan ke negara ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, bagi kes yang melibatkan pegawai Imigresen yang disiasat dan didapati bersalah berhubung dengan kewujudan unsur jenayah serta salah laku sepanjang proses kemasukan ke Malaysia adalah sebanyak 136 kes.

“Berdasarkan kepada jumlah itu, 112 kes adalah kakitangan yang melanggar pelanggaran tatakelakuan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 manakala 24 kes adalah kesalahan jenayah yang diputuskan oleh mahkamah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN