PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang menolak tuntutan waris mendakwa Kesultanan Sulu jelas menunjukan mereka tidak mempunyai asas perundangan untuk merampas aset Malaysia di Belanda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan penghakiman bersejarah itu juga merupakan satu petunjuk bahawa apa-apa usaha lanjutan pihak penuntut dan pembiaya untuk menguatkuasakan Final Award ini di bidang kuasa lain adalah bersia-sia.
Katanya, keputusan itu mengesahkan pendirian Malaysia bahawa keseluruhan proses timbang tara termasuk Final Award yang dikeluarkan sebelum ini adalah tidak sah.
“Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda ini mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara komersial yang telah dilaksanakan terhadap Malaysia oleh pihak penuntut Sulu yang berpotensi menggugat integriti sistem timbang tara antarabangsa secara keseluruhan kini telah dijamin melalui keputusan ini.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah yang perlu termasuk memperolehi pembayaran kos daripada pihak penuntut, rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023 yang mengekalkan penentangan Malaysia terhadap penghakiman awal penimbang tara Dr. Gonzalo Stampa terhadap bidang kuasa.
“Kerajaan Madani akan memastikan bahawa kedaulatan, keselamatan, dan kepentingan Malaysia sentiasa terjamin dan ditegakkan pada setiap masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Malaysia sekali lagi memperoleh kemenangan bagi kes Sulu apabila keputusan Mahkamah Rayuan The Hague memihak kepada negara dengan dengan menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap kerajaan Malaysia di Belanda.
Menurut beliau, keputusan dari Mahkamah Rayuan The Hague adalah satu kemenangan penting kepada kerajaan rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lalu.
Dalam pada itu, Azalina memberitahu keputusan Mahkamah Rayuan The Hague itu dibuat melalui proses timbang tara secara tegas berdasarkan tiga alasan dan antaranya pengeluaran Final Award adalah tidak sah berikutan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara oleh Mahkamah Sepanyol sebelum ini sudah dibatalkan sekali gus membatalkan semua asas tindakannya sejurus itu.
Katanya, oleh itu tiada pengiktirafan dan penguatkuasaan bagi Final Award boleh dilaksanakan.
“Selain itu, mahkamah juga memutuskan bahawa Perjanjian 1878 tidak mempunyai klausa timbang tara yang sah memandangkan klausa yang merujuk kepada Konsul General Borneo untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian tidak boleh disifatkan sebagai satu klausa timbang tara.
“Mahkamah Rayuan Belanda juga mendapati bahawa Award tersebut tidak dapat diiktiraf dan dikuatkuasakan di Belanda berikutan penangguhan pelaksanaan Final Award di Paris,” katanya. – UTUSAN










