Calon PRU DUN Jelapang didakwa 77 tuduhan tipu jual beli rumah, tanah - Utusan Malaysia

Calon PRU DUN Jelapang didakwa 77 tuduhan tipu jual beli rumah, tanah

HAMIDAH Muhamad (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Taiping atas 77 pertuduhan tipu jual beli tanah dan rumah membabitkan kerugian lebih RM350,000. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 didakwa di Mahkamah Majistret berasingan di hari ini di atas 77 pertuduhan menipu urusan jual beli tanah dan rumah yang tidak wujud membabitkan kerugian sebanyak RM350,801.95.

Tertuduh, Hamidah Muhamad, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Prabakaran dan Nur ‘Atiqah Sapari.

Mengikut 38 pertuduhan di hadapan Prabakaran, ibu kepada empat anak itu didakwa memperdaya dua pengetua dan dua guru supaya membeli sebuah rumah dan sebidang tanah di Jalan Panglima, Mukim Assam Kumbang, Taiping hingga mendorong mereka memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank tertuduh.

Mangsa dalam kes itu ialah Faridah Salleh iaitu pengetua sekolah menengah di sini serta dua beradik perempuannya, Razhiyah dan Robiah selain Efendi Zainuddin yang juga pengetua sekolah menengah di Batu Kurau.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan Ketua Makkal Sakti Bahagian Taiping itu antara tahun 2021 hingga 2022 membabitkan kerugian lebih RM200,000.

Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Nur ‘Atiqah, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas 39 pertuduhan menipu individu sama membabitkan kerugian sehingga RM150,000.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Inspektor Khoo Thean Heng dan Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, S. Singaradivel.

Terdahulu, Singaradivel dalam rayuannya memberitahu mahkamah yang anak guamnya itu mempunyai pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit jantung dan darah tinggi.

Katanya, wanita yang juga menghidap kanser otak dan tulang belakang itu kini mengambil 32 pil ubat setiap hari.

“Tertuduh seorang suri rumah dan mempunyai empat anak. Dia kini mendapatkan rawatan di Institusi Jantung Negara (IJN),” katanya.

Prabakaran dan Nur ‘Atiqah masing-masing membenarkan jaminan RM12,0000 terhadap tertuduh dengan dua orang penjamin selain perlu menyerahkan pasportnya pada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya