KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang membina pusat rawatan kanser mengikut zon bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ketika ini ramai pesakit dari seluruh negara terpaksa ke ibu negara untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, kementerian sedang mengenal pasti kawasan mengikut zon di seluruh negara bagi tujuan berkenaan.
“Negara kita tidak mempunyai banyak pusat rawatan kanser dan ada antara pesakit-pesakit kanser, mereka mendapatkan rawatan bertumpu di Kuala Lumpur.
“Oleh itu dalam jangka panjang, secara zon dan kalau ada rezeki kita akan menyediakan pusat-pusat kanser tersebut ,” katanya selepas merasmikan Program ‘Against All Odds-A Tribute to Canser Survivors’ di Hospital Gleneagles di sini hari ini.
Dr. Zaliha berkata, dengan adanya pusat rawatan tersebut dapat membantu dalam banyak sudut umpamanya pesakit tenat tidak perlu mendapatkan rawatan di lokasi yang jauh yang memakan kos.
Sementara itu, mengenai status Kertas Putih Kesihatan (KPK), beliau berkata, ia sudah dibentangkan di Kabinet.
“Kita akan dapat membentangkan Kertas Putih Kesihatan (HWP) di Parlimen, Insya-Allah pada 13 Jun ini,” katanya.
Ahli Parlimen Sekijang itu turut memaklumkan Kementerian Kesihatan bakal membentangkan rang undang-undang bagi kawalan produk merokok demi kesihatan awam pada sesi Parlimen minggu depan.
Jelas beliau, ini adalah susulan daripada sebanyak 43,000 pelajar sekolah yang dikenal pasti sebelum ini merupakan perokok dan dalam masa yang sama turut memaparkan bahawa kesihatan mereka juga terancam.
“Apabila kita tahu awal, kita boleh dapat mengenal pasti sudut dan langkah pencegahan untuk mengelak bagi melindungi mereka yang disyaki terdedah dengan penyakit,” katanya. – UTUSAN










