BN, PH perlu baiki ekonomi untuk raih kepercayaan rakyat

BN, PH perlu baiki ekonomi untuk raih kepercayaan rakyat

JOHARI Abdul Ghani menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan pembaharuan dan pembetulan semula terhadap kejatuhan ekonomi serta pendapatan negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) supaya mendapat kepercayaan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia kini berdepan kemerosotan ekonomi di samping nilai ringgit serta kejatuhan penarafan rating di samping merundumnya kedudukan fiskal negara.

Beliau memberi contoh saiz ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah menguncup manakala hutang negara mencecah RM1 trilion berbanding RM686 bililon ketika pentadbiran BN pada satu ketika dahulu.

Justeru, beliau berharap BN dan UMNO bersama parti-parti Kerajaan Perpaduan dapat memulihkan keadaan itu menjelang 2027.

“Sebab itu perlu bersama-sama dengan Presiden dan menteri-menteri mewakili BN di samping memberikan sokongan padu dan jamin kestabilan politik negara.

“Saya percaya team BN bersama PH ini baik pulih ekonomi menjelang 2027. Insya-Allah kita dapat kejayaan lebih cemerlang,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Sementara itu, Johari mencadangkan UMNO supaya mengumumkan nama calon lebih awal supaya ke semua jentera boleh menerima keputusan yang dibuat oleh parti tentang calon yang bertanding di sesebuah kawasan. 

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan perseteruan antara jentera yang mungkin sebelum itu telah bekerja untuk calon lain. 

Malah tambahnya, prestasi khidmat calon yang dipilih itu juga boleh dipantau selama tempoh khidmat yang diberikan. 

“Saya nak cadangkan kepada Presiden, kita dalam kedudukan kalah. Kalau boleh, kita kena kenal pasti calon nak bertanding, kita letakkan mereka, bagitahu mereka, dalam empat tahun setengah ini, kita review. Kalau dia tak perform, kita cari calon lain,” katanya.

Johari dalam masa yang sama turut mengulas, secara tradisinya, setiap ketua bahagian akan menjadi calon di sesebuah kawasan. 

Namun bila terdapat calon selain daripada ketua bahagian, perseteruan antara jentera perlu diselesaikan segera kerana ia antara elemen penting dalam mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. 

“Bila wujud masalah, bila ada calon selain daripada ketua bahagian, tidak boleh juga nak salahkan ketua bahagian. Ada ketua bahagian yang buat kerja siang malam, tiba-tiba tidak dapat menjadi calon, dia kecewa. Kalau dia tidak kecewa, jentera dia mungkin kecewa. 

“Calon baru ini datang, kalau kalah bukan sebab calon baru itu tidak bagus tetapi kerana jentera kita, kita tidak dapat susun dengan baik,” ujarnya. 

Tambahnya, dua elemen lain lagi yang turut penting untuk mencapai kemenangan pada PRN nanti adalah parti dan calon. 

“Macam Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri 22 tahun, tetapi pada PRU15, dia kalah sebab parti. Parti Pejuang orang tidak kenal. Kalau Barisan Nasional ini kita jaga, itu merupakan salah satu faktor untuk kita menang. 

“Jadi, tiga faktor iaitu parti, jentera dan calon merupakan entiti penting kalau nak menang dan ia tidak boleh dipisahkan. Kalau ada elemen tidak puas hati dalam kedudukan jentera, kena selesaikan cepat-cepat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya