PETALING JAYA: United Kingdom (UK) digesa menilai semula pendekatan mereka dalam isu Palestin berikutan tindakan negara itu yang hanya mengiktiraf sebahagian pihak sebagai kerajaan sah Palestin.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Zulkefli berkata, walaupun tindakan UK mengiktiraf negara Palestin dilihat sebagai langkah ke hadapan, namun pengiktirafan itu hanya diberikan kepada pihak Berkuasa Palestin (PA) dan bukan keseluruhan entiti politik di Palestin.
“Memang UK menyokong penubuhan negara Palestin menerusi solusi dua negara, tetapi mereka hanya mengiktiraf PA sebagai pentadbiran sah. Hamas di Gaza masih dianggap kumpulan pengganas oleh UK.
“Sokongan UK terhadap Palestin tidak boleh dianggap menyeluruh kerana negara itu kekal sebagai sekutu rapat Israel, termasuk dari sudut bantuan persenjataan dan ekonomi.” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Haikal turut mengkritik dasar solusi dua negara yang menurutnya tidak mampu menyelesaikan isu asas Palestin yang membabitkan penindasan dan pengusiran penduduk asal sejak lebih 70 tahun lalu.
“Solusi dua negara hanya mengabsahkan kewujudan Israel yang terbentuk melalui penjajahan dan kekerasan. Apa yang lebih utama sekarang ialah pengembalian hak kembali (right to return) kepada rakyat Palestin yang diusir sejak 1948.
“Hanya selepas hak tersebut dikembalikan, barulah sebarang rundingan berkenaan bentuk negara Palestin, sama ada satu negara, dua negara atau lain-lain boleh dibincangkan secara adil,” tegas Haikal.
Sementara itu, beliau berkata, situasi terkini di Gaza yang semakin membimbangkan dengan sekurang-kurangnya 44 penduduk Palestin termasuk lima kanak-kanak maut dalam satu siri serangan udara terbaharu rejim Zionis pagi semalam.
Menurut Haikal, serangan itu adalah tindak balas rejim haram terhadap persetujuan awal Hamas untuk menerima syarat gencatan senjata lima tahun yang kini sedang dirundingkan di Kaherah.
“Situasi di Gaza semakin kritikal. Sekatan di semua pintu sempadan menyukarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan barangan asas. Penduduk kini berhadapan dengan krisis air, kebuluran dan trauma yang mendalam,” katanya.
Lebih 52,000 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh sejak Oktober 2023, manakala lebih 117,000 lagi cedera. Majoriti mangsa adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Kita lihat peningkatan kes tekanan pascatrauma (PTSD) hampir 110 peratus sejak konflik bermula. Malangnya, rawatan psikologi dan kesihatan mental sangat terhad,” katanya.
Haikal turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk berhenti sekadar bersimpati, sebaliknya mengambil tindakan konkrit melalui kerjasama strategik antara negara-negara blok penyokong Palestin.
“Sudah tiba masanya kita bertindak secara bersama, termasuk menyalurkan bantuan melalui laluan laut dan udara. Pembelaan terhadap rakyat Palestin mesti dijadikan agenda bersama dunia,” katanya. –UTUSAN











