Bekas penghulu lemas luncur udara terjunam ke dalam laut

Bekas penghulu lemas luncur udara terjunam ke dalam laut

JENAZAH mangsa dibawa untuk tindakan lanjut di Unit Forensik Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang bekas penghulu Mukim Seribong di sini maut selepas luncur udara (paragliding) yang dinaiki bersama sahabatnya terjunam ke dalam laut di kawasan Pantai Irama, Bachok dekat di sini petang tadi.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, Mustaffa Isa, 62, yang merupakan penumpang maut dilokasi manakala sahabatnya berusia 77 tahun terselamat dan mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan kejadian itu berlaku apabila enjin paragliding tersebut mengalami kerosakan sebelum terjunam ke dalam laut.

 

Menantu mangsa, Rozaidi Ismail, 48, berkata, kejadian tersebut diketahuinya selepas menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan insiden berkenaan.

Menurutnya, dia yang ketika itu berada dirumah terus bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan bapa mentua.

“Bapa mentua sebelum ini pernah melakukan aktiviti tersebut beberapa kali bersama dengan sahabatnya itu.

“Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seribong selepas semua urusan itu selesai,” katanya di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini malam ini.

Rozaidi memberitahu, mentuanya itu berkhidmat sebagai penghulu bermula tahun 2001 dan meletak jawatan 2008.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok, Leftenan (PA) Mohd. Khairi Mat Hussin berkata, anggota APM mendapati dua lelaki sedang membuat penerbangan luncur udara berhampiran menara pantai tiba-tiba jatuh ke dalam laut.

Katanya, paragliding tersebut dilihat terjunam ke laut sebelum petugas Penyelamat Pantai APM bergegas cuba menyelamatkan mangsa.

“Salah seorang lelaki berada dalam keadaan terkapai-kapai di permukaan air sebelum diselamatkan anggota APM. Seorang lagi mangsa dilihat tenggelam di kawasan laut dan tidak memberi sebarang tindak balas.

“Jet ski milik orang awam di pantai itu telah membawa mangsa yang sudah tidak sedarkan diri. Petugas Penyelamat Pantai APM dengan bantuan oleh orang awam telah melakukan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa yang tidak sedarkan diri manakala jurukemudi luncur udara itu diberikan bantuan pemulihan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN