Bekas pengarah didakwa bersubahat palsukan dokumen cecah RM13.8 juta - Utusan Malaysia

Bekas pengarah didakwa bersubahat palsukan dokumen cecah RM13.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan bersubahat dengan seorang pengurus syarikat untuk memalsukan sejumlah invois dan pesanan pembelian mencecah RM13.8 juta.

Ng Shih Chiow, 50, meminta dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Menurut pertuduhan pertama hingga ke-12, tertuduh didakwa bersubahat secara berpakat jahat dengan Cheng Choon Choon yang merupakan pengurus tiga buah syarikat bagi memalsukan invois dan pesanan pembelian untuk tujuan menipu.

Invois dan pesanan pembelian itu di antara RM106,200 dan RM3,097,500 manakala tiga buah syarikat terlibat ialah Golden Infor Services, Accucom Solutions PLT dan Omega Dynasty Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu pada waktu-waktu berbeza di antara 22 Mei 2020 dan 8 Ogos 2022 di Wisma Revenue, No. 12, Jalan Udang Harimau 2, Kepong Business Park di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dan Mohd. Shahrom Idris manakala tertuduh diwakili oleh peguam-peguam Amer Hamzah Arshad dan New Sin Yew.

Rozina membenarkan Shih Chiow diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta mengenakan syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sebulan sekali hingga pelupusan kes.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Amer Hamzah menjelaskan, pasport anak guamnya kini dalam simpanan pihak SPRM untuk siasatan lanjut.

Beliau turut memohon wang jaminan dijelaskan sehingga esok atas alasan anak guamnya menghadapi masalah dengan pihak bank kerana akaun dibekukan ketika siasatan.

Amer Hamzah berkata, isteri dan adik tertuduh hadir di mahkamah dan bersedia bertindak sebagai penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya