KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan pembaharuan dan pembetulan semula terhadap kejatuhan ekonomi serta pendapatan negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi mendapat kepercayaan rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, negara kini berdepan kemerosotan ekonomi di samping nilai ringgit serta kejatuhan penarafan rating di samping merudumnya kedudukan fiskal negara.
Beliau mengambil contoh saiz ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah menguncup manakala hutang negara mencecah RM1 trilion berbanding RM686 bililon ketika pentadbiran BN satu ketika dahulu.
Justeru itu, beliau berharap BN dan UMNO bersama parti-parti dalam kerajaan perpaduan dapat memulihkan keadaan tersebut menjelang 2027.
“Saya percaya jika BN bersama PH dapat membaik pulih ekonomi menjelang 2027, insya-Allah kita dapat kejayaan lebih cemerlang,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam.
Sementara itu, Johari mencadangkan UMNO supaya mengumumkan nama calon lebih awal supaya semua jentera boleh menerima keputusan yang dibuat oleh parti tentang calon yang akan bertanding di sesebuah kawasan.
Malah tambahnya, prestasi khidmat calon yang dipilih itu juga boleh dipantau selama tempoh khidmat yang diberikan.
Beliau dalam masa sama berkata, secara tradisinya, setiap Ketua Bahagian akan menjadi calon di sesebuah kawasan namun berlaku terdapat calon selain daripada Ketua Bahagian.
“Ada Ketua Bahagian yang buat kerja siang malam, tiba-tiba tidak menjadi calon, dia kecewa. Kalau dia tidak kecewa, jentera dia mungkin kecewa.
“Calon baharu datang, kalau kalah bukan sebab calon itu tidak bagus tetapi kerana jentera kita, kita tidak dapat susun dengan baik,” ujarnya.
Tambahnya, dua elemen lain lagi yang turut penting untuk mencapai kemenangan pada PRN nanti adalah parti dan juga calon.
“Macam Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri 22 tahun, tetapi pada PRU15, dia kalah sebab parti. Parti Pejuang orang tidak kenal. Kalau Barisan Nasional (BN) ini kita jaga, itu merupakan salah satu faktor untuk kita menang.
“Jadi, tiga faktor iaitu parti, jentera dan calon merupakan entiti penting kalau mahu menang dan ia tidak boleh dipisahkan. Kalau ada elemen tidak puas hati dalam kedudukan jentera, kena selesaikan cepat-cepat,” ujarnya. – UTUSAN










