PETALING JAYA: Tidak sampai hati melihat kaki seorang pengguna Twitter melecet gara-gara tersalah memilih saiz kasut, penyanyi Ayda Jebat menawarkan diri untuk membeli kasut tersebut yang bernilai kira-kira RM500.
Menurut Ayda, walaupun dia merupakan duta kepada jenama kasut berkenaan, namun memang niatnya untuk membantu wanita tersebut sehingga tidak lokek mengeluarkan duit poketnya sendiri.
“Dia ada mesej saya di Instagram menunjukkan bukti pembelian. Harga kasut kira-kira RM500. Dia kata kakinya besar, mungkin kasut itu tidak muat jika saya pakai.
“Tujuan saya beli kasut itu bukan sebab saya mahu pakai. Saya hanya mahu bantu agar dia boleh beli kasut yang lain.
“Jenama kasut itu memang selesa dipakai. Ramai juga yang bersetuju dan berkongsi komen yang sama. Mungkin sebab dia salah saiz atau dia salah pilih jenis kasut semasa membeli membuatkan kakinya melecet,” kata Ayda ketika dihubungi Utusan Malaysia tadi.
Ini kali pertama jenama kasut itu tular sehingga dilaporkan di akhbar. Syarikat jenama kasut berkenaan ada menghubungi pengurusan Ayda dan mahu memberikan kasut berkenaan secara percuma.
“Syarikat kasut itu ada menghubungi pengurusan saya untuk memberikan kasut itu secara percuma. Namun saya menolak. Bagi saya ia bukan tanggungjawab mereka untuk memberikanya secara percuma. Ia keputusan saya dan memang niat saya untuk bantu.
“Saya juga tidak menyangka ia akan meraih perhatian sehingga tular di media. Alhamdulillah, selepas saya beli kasut itu daripada wanita berkenaan, dia ada muat naik gambar dan video menunjukkan kasut baru yang diberlinya. Nampak selesa dan saya gembira untuknya,” katanya lagi.
Penyanyi Pencuti Hati itu meraih perhatian ramai yang rata-ratanya memuji tindakan Ayda sebagai duta produk.
“Sebenarnya nak jadi duta bukan benda yang mudah. Saya akan cuba dahulu sesuatu produk. Jika selesa dan bersesuaian, barulah saya akan ambil. Saya tidak akan tipu peminat saya.
“Bayangkan jika kita tak guna pun produk itu, kita tak akan boleh nak terangkan. Saya tak jadi duta demi duit. Alhamdulillah ada beberapa jenama yang meneruskan kontrak untuk menjadikan saya duta selama bertahun-tahun sehingga tujuh dan ada juga yang mengambil saya sebagai duta sehingga 9 tahun,” tambahnya lagi.
Terdahulu, seorang pengguna di laman sosial meraih perhatian apabila kasut berjenama yang dibeli menyebabkan kakinya cedera. Ayda kemudian menawarkan diri untuk membantunya.