Anak jaga ibu sakit raih 11A SPM - Utusan Malaysia

Anak jaga ibu sakit raih 11A SPM

MUHAMMAD Syahril Saidi menunjukkan keputusan SPM 2022 yang diperolehnya selepas meraih 11A di rumahnya di Kampung Kandis, Bachok, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Berkat menjaga dan menyantuni serta memuliakan ibunya yang terlantar sakit, seorang pelajar Sekolah Mene­ngah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman di sini, tidak menyangka meraih keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Muhammad Syahril Saidi, 18, berkata, dia terkejut memperoleh keputusan cemerlang itu kerana bukanlah seorang pelajar yang dikategorikan tekun dalam pelajaran.

“Saya belajar menggunakan kaedah sendiri, namun yakin apabila jika menyayangi dan menghormati ibu bapa serta taat perintah Allah pastinya jalan kehidupan itu akan dipermudahkan.

“Syukur di atas kejayaan ini, kerana Allah memberi ingatan yang kuat dan memudahkan saya menjawab setiap soalan dengan tepat sepanjang pe­periksaan SPM itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, di sini semalam.

Muhammad Syahril membe­ritahu, dia memperoleh keputusan cemerlang tertinggi atau A+ dalam subjek Bahasa Melayu, Sains, Usul al-Din, Manahij al-’Ulum al-Islamiah, al-Adab Wa al-Balaghah dan selebihnya cemerlang tinggi.

Katanya, dia hanya menge­tahui mengenai perkara itu selepas pihak sekolah datang ke rumah dan memaklumkannya.

“Saya menjadi anak yatim sejak berusia setahun selepas ayah (Saidi Mat Jusuh) meninggal du­nia, manakala umi (ibu) Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, menghidap pe­nyakit saraf sejak 2019.

“Kejayaan yang diperoleh ini saya dedikasi untuk umi dan seluruh ahli keluarga yang ba­nyak memberikan semangat. Pesan saya kepada rakan-rakan pelajar agar sentiasa mengasihi dan menghormati ibu bapa sekiranya ­ingin berjaya dalam hidup dunia dan akhirat,” katanya.

Muhammad Syahril yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah Bahasa Arab berkata, dia akan menyambung pelajaran di pe­ringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Buat masa ini saya tidak fikir untuk memilih pengajian di mana-mana universiti. Saya akan fokus dengan STAM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN