MACHANG: Dua pekerja butik pengantin maut ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas memasang pelamin di rumah pengantin apabila bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Kampung Batang Merbau, Tanah Merah di sini kelmarin.
Dalam nahas kira-kira pukul 7.30 malam itu, pemandu van jenis Ford Spectron, Muhamad Isyhad Ismi, 20, dan penumpang, Nur Farah Nabilah Che Hasan, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Abang ipar mangsa yang juga pemilik butik pengantin, Fariz Izzuddin Zainulddin, 29, berkata, dia memandu kereta secara konvoi dengan Mohd. Isyhad yang memandu van bersama pekerjanya, Nur Farah Nabilah.
Menurutnya, dia melihat kejadian yang menimpa adik iparnya amat tragis menerusi cermin sisi pandang belakang apabila Nur Farah Nabilah tercampak keluar ke jalan raya.
“Saya memandu kereta bersama seorang lagi pekerja lain memandu di hadapan mereka sebelum terdengar dentuman kuat dari arah belakang.
“Saya berhenti di tepi jalan dan terkejut melihat mayat Nur Farah Nabilah bergelimpangan di atas jalan raya dalam keadaan cukup ngeri manakala adik ipar saya tersepit di dalam van,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Pondok Hidayah di sini semalam.
Fariz Izzuddin memberitahu, dia bertolak dari rumah pengantin di Kampung Limau Purut, Rantau Panjang kira-kira pukul 6 petang dan bergerak secara konvoi dengan van yang dipandu adik iparnya.
Katanya, adiknya itu baru memperoleh lesen memandu beberapa bulan lalu dan dilihat cuba memotong sebuah kenderaan semasa kejadian.
“Saya terkilan kerana tidak sempat membayar gaji kepada arwah Mohd. Isyhad yang diambil bekerja tetap sejak sebulan lalu. Sebelum ini, dia hanya bekerja sambilan.
“Adik ipar merupakan pekerja yang baik kerana arwah juga seorang bekas pelajar tahfiz,” jelasnya.
Sementara itu, ibu kepada arwah Mohd. Isyhad, Rahmah Mat Seman, 55, berkata, dia reda dengan pemergian anaknya kerana dia merupakan anak yang soleh.
Katanya, arwah yang merupakan anak kelapan daripada 10 beradik itu keluar bekerja kira-kira pukul 8.30 pagi.
“Kebiasaannya, arwah sempat bersarapan sebelum keluar bekerja, tetapi (hari kejadian), dia hanya jamah biskut dan air.
“Arwah sempat berpesan kepada adik bongsunya supaya jaga saya dan ayah selain mengemas rumah. Dia berjanji akan membawa saya membeli-belah kerana akan dapat gaji pertama,” katanya.
Katanya, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sega di sini kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati, sebuah treler jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli.
Katanya, semasa tiba di lokasi, van dipandu Muhamad Isyhad dari arah bertentangan dipercayai memotong kenderaan lain.
“Van kemudiannya bertembung dengan treler terbabit sehingga kenderaan berat itu terbalik di atas jalan raya.
“Nahas itu menyebabkan Muhamad Isyhad dan Nur Farah Nabilah masing-masing mengalami cedera parah pada kepala dan badan,” katanya.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu van yang memotong kenderaan lain sehingga berlaku kemalangan. – UTUSAN