9,000 pesawah terima bantuan tunai, benih padi - Utusan Malaysia

9,000 pesawah terima bantuan tunai, benih padi

Pesawah
AMIRUDIN Shari menyerahkan bantuan kepada sebahagian daripada pesawah dan jemaah haji yang hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Pesawah dan Kenduri Rakyat dekat Masjid At-Tuqa, Kampung Sungai Sireh di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sebanyak 9,000 pesawah di Sabak Bernam dan daerah ini diberi bantuan tunai sebanyak RM500 dan benih padi oleh kerajaan negeri bagi menghadapi masalah kekurangan hasil ketika cuaca panas yang melanda negara dijangka sehingga Ogos.

Bantuan tunai diberi secara berperingkat RM300 dan RM200 bagi membolehkan pesawah-pesawah mendapatkan keperluan harian terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian bantuan tersebut melibatkan keluasan sawah kira-kira 17,000 hektar dan sebanyak 136,000 beg benih padi akan diedarkan kepada pesawah.

“Pada musim ini kelihatannya terutama di Sabak Bernam dan Kuala Selangor, saya lihat kualiti tanaman dan hasil yang terjejas dan dijangkakan sedikit berkurangan.

“Jadi, itu adalah bantuan untuk meningkatkan hasil padi, kalau dahulu kita beri baja dan sebagainya, kali ini kutipan (musim tuaian) hendak sampai, tetapi (bantuan) baja tidak beri kesan yang baik ketika ini, jadi sebahagiannya (bantuan) kita beri benih dan wang tunai,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Pesawah dan Kenduri Rakyat, hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Masjid At-Tuqa di Kampung Sungai Sireh serta bantuan kepada bakal jemaah haji muasasah negeri ini.

Terdahulu, dalam ucapan pada majlis tersebut, Amirudin menjelaskan, bantuan tunai kepada jemaah haji di Selangor dikekalkan kepada RM500 namun ditambah baik dengan pemberian suntikan pneumokokal secara percuma yang bernilai RM200.

“Inilah masanya, dengan komitmen oleh kerajaan negeri dari segenap aspek, ini bukan soal petani dan pesawah, kita juga sampaikan pada hari ini sumbangan kepada jemaah haji, tahun ke lima berturut-turut.

“Dahulu kita beri RM500 sekarang kita beri tetap RM500, tetapi kita tawarkan vaksin pneumokokal secara percuma, harganya hampir RM200. Maknanya ada peningkatan sampai RM700,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya