669 calon SPM 2022 di Perak cemerlang - Utusan Malaysia

669 calon SPM 2022 di Perak cemerlang

MOHAMAD Fauzi Mahson menunjukkan analisis keputusan peperiksaan SPM 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 669 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di negeri ini memperoleh gred cemerlang A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 118 calon berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 787 orang.

Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Fauzi Mahson berkata, daripada 669 calon cemerlang, 13 orang daripadanya memperoleh keputusan A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil.

“Daripada 27,609 calon yang menduduki peperiksaan tahun lalu, seramai 24,698 calon layak menerima sijil berbanding tahun sebelumnya seramai 24,877 orang.

“Jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 4.39 peratus,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman analisis keputusan SPM 2022 bagi negeri Perak di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, Indeks Gred Purata Negeri (GPN) bagi peperiksaan SPM tahun lalu juga menunjukkan pencapaian yang lebih baik sebanyak 0.04 mata iaitu 4.96 pada tahun 2021 kepada 4.92 tahun lalu.

Katanya, jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar juga semakin mengecil iaitu 0.04 mata GPN iaitu 0.02 pada tahun lalu berbanding 0.06 tahun sebelumnya.

“Berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula, sebanyak 38 daripada 80 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi manakala 36 mata pelajaran pula merosot dan enam pelajaran pula kekal.

“Mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam juga menunjukkan peningkatan prestasi dalam peperiksaan tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, seramai 89 calon berkeperluan khas (CBK) telah menduduki peperiksaan itu tahun lalu dan empat daripadanya merekodkan keputusan cemerlang.

“Seorang calon CBK bagi kategori kurang upaya penglihatan telah memperoleh keputusan cemerlang 11A bagi mata pelajaran yang diambil,” katanya.

Pada peperiksaan yang berlangsung bermula 30 Januari hingga 15 Mac lalu, seramai 32,736 calon menduduki peperiksaan di mana 31,080 orang merupakan calon sekolah dan 1,656 lagi calon persendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya