PETALING JAYA: Kira-kira 65,000 pelajar bakal menerima keputusan tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam 2023 di seluruh negara yang bakal diumumkan 3 Julai ini.
Seorang pegawai di Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, ia merangkumi 643 pusat Tingkatan Enam.
“Bagi mod satu (Kolej Tingkatan Enam) sebanyak 25. Mod dua pula mempunyai 95 dan mod tiga terdapat 523. Kedua-dua mod ini pelajar Tingkatan Enam bercampur dengan sekolah arus perdana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, lepasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran kemasukan secara dalam talian menerusi pautan https://sst6.moe.gov.my/.
Selain itu calon peperiksaan SPM 2022 yang tidak mempunyai capaian internet boleh menyemak keputusan tawaran melalui sekolah asal.
Jelas KPM, mereka yang tidak menerima tawaran boleh mengemukakan permohonan rayuan secara dalam talian di pautan https://sst6.moe.gov.my/ mulai 3 hingga 17 Julai ini manakala yang tidak mempunyai capaian internet, rayuan boleh dibuat melalui sekolah masing-masing.
“Keputusan permohonan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam semester satu akan dimaklumkan pada 24 Julai ini melalui portal sama. Bagi murid yang tidak mempunyai capaian internet, keputusan permohonan rayuan akan dimaklumkan oleh pihak sekolah pada tarikh sama,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama KPM memaklumkan, pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan Enam perlu melapor diri pada 16 Julai bagi sekolah-sekolah dalam negeri kumpulan A dan 17 Julai untuk sekolah-sekolah dalam negeri kumpulan B di kolej atau pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran.
Untuk ambilan rayuan, tarikh lapor diri pula pada 25 Julai.
“Kementerian sentiasa berusaha menawarkan peluang pendidikan terbaik selaras dengan hasrat membangunkan Malaysia Madani,” kata kenyataan. – UTUSAN