596 notis kesalahan jalan raya dalam Ops Khas Aidiladha JPJ - Utusan Malaysia

596 notis kesalahan jalan raya dalam Ops Khas Aidiladha JPJ

MOHAMMAD Yusoff Abustan (depan) membuat pemeriksaan kenderaan dalam Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2023 di Ipoh semalam. - UTUSAN//MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan 596 notis atas pelbagai kesalahan terhadap pengguna jalan raya dalam Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2023 semalam.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 502 notis merupakan kesalahan utama berkaitan lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Menurutnya, sebanyak 12 kenderaan disita melibatkan dua kereta, sebuah van dan sembilan motosikal.

“Sembilan kesalahan yang dikesan ialah memandu melebihi had laju, gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu kenderaan berat di lorong laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, tidak memakai topi keledar, lebih muatan serta penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

“Operasi ini bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa,” katanya pada sidang akhbar Ops Khas Aidiladha 2023 di sini semalam.

Menurutnya, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Imigresen Malaysia turut serta dalam operasi tersebut.

“Operasi ini berjalan selama empat hari iaitu pada 27 Jun dan 28 Jun, iaitu sebelum hari raya manakala 1 Julai dan 2 Julai selepas perayaan tersebut,” katanya.

Katanya, kempen itu diadakan berikutan peningkatan pergerakan kenderaan yang tinggi menyebabkan aliran trafik perlahan ekoran perjalanan pulang warga kota ke kampung halaman masing-masing.

“Situasi tersebut kerana perayaan yang bersambung dengan cuti hujung minggu yang merupakan peluang berharga untuk bersama keluarga dalam untuk tempoh yang lama,” katanya.

Beliau berkata, Ops Khas Hari Raya Aidiladha ini turut fokus kepada Ops Motosikal secara bersasar kepada penunggang dan pembonceng.

“Ini kerana berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal dalam tempoh bagi 2010 hingga 2022 paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN